journey without destination

journey without destination

Saturday, February 12, 2011

Isu Tuntutan Pelaksanaan Dasar Gaji@Upah Minima dan Konsep dalam Pembangunan



Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berpendirian yang dasar upah minima prlu dilaksanakan di malaysia. Hujah yang menyokong pendirian (MTUC). Sebagai penggubal dasar pertimbangkan  hujah ini dengan hujah dari pihak majikan. 


Isu tuntutan gaji minima merupakan isu sejagat yang diperjuangkan oleh golongan pekerja di serata dunia. Definisi upah minimum adalah penghasilan upah  yang diperoleh dari upah pokok yang bersifat tetap dengan jumlah hari kerja normal. Isu ini bukanlah perkara baru khususnya dalam senario perhubungan perusahaan di Malaysia.  Sejak negara mencapai kemerdekaan para pekerja merupakan tenaga penggerak kepada pelbagai kegiatan ekonomi dan telah memainkan peranan yang penting kepada pembangunan negara.  Sumbangan pekerja kepada perkembangan ekonomi negara dan kemajuan pembangunan adalah tidak dinafikan dan kerajaan sentiasa memberikan pengiktirafan kepada sumbangan mereka melalui dasar-dasar kerajaan yang telah dan sedang dilaksanakan.  Dalam konteks ini, isu gaji minimum telah menarik perhatian banyak pihak di negara ini khususnya pihak Kongres  Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang telah menggesa pihak kerajaan agar memperkenalkan skim gaji permulaan untuk para pekerja sektor swasta.  Pendebatan tentang gaji minimum adalah merupakan satu isu negara dan perkara ini harus dikaji secara mendalam untuk kepentingan para pekerja, syarikat dan pertumbuhan ekonomi Negara.
Dalam hal ini, tidak terdapat undang-undang upah minimum kebangsaan yang dikenakan kepada sektor perkilangan mahupun perladangan di Malaysia. Upah asas berbeza mengikut lokasi dan sektor perindustrian, manakala faedah tambahan, yang boleh merangkumi bonus, pakaian seragam percuma, pengangkutan percuma atau di beri subsidi, insentif prestasi dan faedah-faedah lain, berbeza dari syarikat ke syarikat lain. Manakalag gaji dan faedah-faedah sampingan yang ditawarkan kepada pihak pengurusan dan eksekutif juga berbeza mengikut industri dan dasar penggajian syarikat. Kebanyakan syarikat memberi rawatan perubatan percuma, perlindungan kemalangan diri dan insurans hayat, pengangkutan percuma atau diberi subsidi, bonus tahunan, faedah persaraan dan caruman tertingkat kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Kongres  Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengenal pasti beberapa sektor pekerjaan dalam sektor pembuatan dan perladangan yang tidak memenuhi peraturan gaji minimum mengikut pasaran. Melalui pendirian MTUC, Pengerusi Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Pulau Pinang, Abdul Razak Abdul Hamid iaitu menyelesaikan masalah gaji minimum RM900 dan elaun pekerja (cola) dinaikkan ke RM300. MTUC telah mengadakan perbincangan untuk menaikan gaji masa kini yang dianggap di bawah paras kemiskinan kerana ramai pekerja sektor perkilangan khususnya masih menikmati gaji yang amat rendah berbanding pengumuman kerajaan bagi sektor awam Negara. MTUC juga mendesak pihak kerajaan untuk melaksanakan undang-undang upah minima supaya pekerja yang tertindas dijamin pendapatan bulanan yang lebih terjamin dan munasabah. Namun, semua masalah ini diabaikan oleh pihak kerajaan.       
Selain itu, Sistem Upah Berkait Produktiviti (SUBP) juga dipesoalkan kerana ada sesetengah syarikat yang tidak melaksanakan sistem ini. Sistem ini merupakan satu sistem perubahan upah yang berkait dengan kemahiran dan dihubungkan dengan produktiviti output.  Oleh itu, setiap peningkatan upah melalui kemahiran harus disertai dengan peningkatan produktiviti output yang tinggi.  Dengan ini, daya saing syarikat dapat diperkukuhkan dan pekerja mendapat jaminan pekerjaan dan upah minimum yang setimpal dengan kemahiran mereka. Namun tahap pelaksanaan Sistem ini dalam syarikat-syarikat swasta di Malaysia tidak begitu menggalakkan.
Sebagai Pengubal Dasar yang juga merupakan pihak kerajan dan pemerintah, adalah sukar bagi pengubal dasar untuk melaksanakan upah minimum kerana  kadar gaji sektor swasta di negara ini ditentukan mengikut kuasa pasaran. Penetapan ini dibuat berdasarkan kepada permintaan dan penawaran. Ini bagi memastikan negara sentiasa kompetitif dalam persaingan ekonomi diperingkat global. Melalui Institute for Management Development (IMD) World Competitiveness Yearbook pada tahun 2007 melaporkan bahawa kedudukan Malaysia adalah di tempat ke-23 daripada 55 buah negara dari aspek daya saing. Berdasarkan kepada laporan tersebut, kedudukan ini perlu diperbaiki dan  peningkatan kos tanpa peningkatan produktiviti perlu dielakkan. Antara cara yang digunakan oleh kerajaan dalam penetapan gaji adalah melalui kuasa pasaran, Perjanjian Kolektif dan Majlis Penetapan Gaji (MPG). Majlis Penetapan Gaji ditubuhkan di bawah Akta Majlis Penetapan Gaji 1947 bagi golongan pekerja yang mudah terjejas iaitu yang bekerja di sektor di mana tiada satu mekanisma yang berkesan dalam menetapkan gaji dan syarat pekerjaan. Sehingga kini, kerajaan telah menubuhkan 11 MPG yang akan menetapkan gaji minima dan syarat-syarat pekerjaan bagi golongan pekerja dalam sektor-sektor yang ditentukan. Kerajaan akan sentiasa mengkaji dan menentukan gaji minima mengikut sektor pekerjaan pembuatan dan perladangan, sekiranya terdapat keperluan untuk penubuhan tersebut. Kerajaan berpendapat bahawa penetapan gaji minima kebangsaan (National MinimumWage) untuk semua sektor pekerjaan adalah kurang wajar pada masa ini kerana peningkatan kos dalam menjalankan perniagaan di Malaysia akan menjejaskan daya saing negara dalam menarik pelaburan asing ke Malaysia dan mengekalkan pelabur-pelabur sedia ada. Selaras dengan hasrat agenda pembangunan negara, kerajaan sedang mempromosikan sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti (Productivity Linked Wages System- PLWS). Dasar ini bertujuan menjamin daya saing negara di samping menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup pekerja.
Dalam hal ini, isu berkenaan Upah Minima amatlah penting untuk difahami oleh massyarakat terutamanya sumber tenaga manusia di Malaysia yang merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi Negara. Pada pendapat saya, Dasar Upah Minima harus dilaksanakan di Malaysia dan juga di Negara-negara lain berdasarkan keadaan ekonomi, politik , sosial, pasaran dunia, kuasa beli, infrastruktur, pendidikan, dan sumber bahan mentah (input) di Malaysia pada masa kini mahupun Negara lain. Jika dilihat dari segi pertumbuhan ekonomi, eksport Malaysia dijangka akan terus kukuh dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) berdasarkan unjuran pertumbuhan ekonomi dunia yang dijangka berkembang pada kadar 4.3 peratus setahun dalam tempoh tahun 2006-2010.  Eksport barangan perkilangan dijangka berkembang pada kadar purata 9.3 peratus setahun dalam tempoh RMK-9 dengan perolehan eksport meningkat daripada RM429.9 bilion pada tahun 2005 kepada RM670.8 bilion pada tahun 2010. Eksport utama barangan perkilangan termasuk barangan elektrik dan elektronik, kimia dan keluaran kimia, keluaran petroleum, makanan, tekstil, pakaian dan kasut, keluaran kayu, keluaran logam serta kelengkapan pengangkutan. Pertumbuhan eksport barangan perkilangan menggambarkan pengembangan berterusan permintaan daripada pasaran tradisional, baru dan bukan tradisional seperti China, India dan Eropah Timur.          Selain itu, eksport sektor pertanian pula dijangka berkembang pada purata 8 peratus setahun hasil pertumbuhan positif nilai eksport getah, minyak sawit, koko dan keluaran perhutanan serta keluaran makanan.
Manakala itu,  masalah lambakan pekerja asing juga menyebabkan kadar kenaikan gaji pekerja berpendapatan rendah pada kadar perlahan yang sebahagian besarnya disebabkan oleh lambakan pekerja asing di Malaysia. Berdasarkan Kumpulan Pemerhati Makro, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Asan Ali Golam Hassan, sejak akhir 1980-an terutamanya dalam tempoh 1990-1995 struktur ekonomi Malaysia berubah kepada perindustrian dan telah tumbuh dengan pesat sekitar 8.4 peratus setahun. Ia lebih tinggi daripada sasaran Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (1991-2000) iaitu sebanyak 7 peratus setahun dan guna tenaga dalam sektor perindustrian meningkat dengan mendadak daripada 542,817 orang pada tahun 1980 kepada 2.6 juta pada 2000. Dalam masa yang sama sektor pertanian menjadi semakin kurang menarik kepada pekerja tempatan dan sebahagian besar mereka berpindah kepada sektor perindustrian dan perkhidmatan. Guna tenaga meningkat sekitar 3.4 peratus manakala tenaga buruh tempatan hanya meningkat sebanyak 2.9 peratus mengakibatkan berlaku kekurangan dalam penawaran buruh ketika itu. Untuk mengatasi masalah tersebut, kerajaan membuka ruang kepada kemasukan pekerja asing. Pada tahun 1995, pekerja asing meliputi 35 peratus daripada tenaga pekerja di Malaysia. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketujuh (1995-2000) penduduk Malaysia meningkat pada kadar 2.3 peratus setahun manakala penduduk asing (bukan warganegara) pula meningkat pada kadar 4.3 peratus setahun. Pada 2005, penduduk asing meliputi 7.6 peratus daripada jumlah penduduk yang berada ketika umur bekerja di Malaysia, tidak termasuk penduduk asing tanpa izin.

Kemasukan pekerja asing yang terdiri daripada pekerja tidak mahir terutamanya dalam sektor pertanian dan perindustrian memperlahankan upah dalam sektor tersebut daripada meningkat. Keadaan ini, menyebabkan upah pekerja tidak mahir dalam kalangan penduduk tempatan meningkat pada kadar yang jauh lebih rendah daripada kadar peningkatan pendapatan per kapita negara, dan seterusnya meluaskan jurang perbezaan pendapatan dalam ekonomi. Kemasukan mereka secara beramai-ramai akan merendahkan secara relatif upah pekerja tidak mahir sementara upah pekerja mahir dan pulangan pemilik modal terus meningkat. Akibatnya, jurang perbezaan pendapatan dalam masyarakat akan melebar dan pergantungan yang tinggi kepada pekerja asing bukan sahaja menyebabkan faktor upah pekerja tidak mahir menjadi tegar (rigid) dan peningkatan aliran keluar ringgit Malaysia malah lambakan pekerja asing juga akan terus menambahkan bilangan isi rumah miskin di bandar. Misalnya, menurut Rancangan Malaysia Ketujuh, 1996-2000, kira-kira 12 peratus (atau 11,300 isi rumah) daripada jumlah isi rumah miskin di kawasan bandar di negara ini adalah terdiri daripada warganegara asing. Malah, sebahagian yang agak besar daripada penempatan setinggan di kawasan bandar, khususnya di Kuala Lumpur, telah menjadi tumpuan penempatan penduduk asing.
Untuk mengurangkan kesan lambakan pekerja asing yang menyebabkan upah pekerja tidak mahir menjadi tegar kerajaan mungkin boleh memikirkan peraturan berkaitan dengan tingkat gaji minimum dan nisbah (ratio) pekerja asing. Tingkat gaji minimum bagi pekerja tempatan seharusnya lebih tinggi dari tingkat gaji minimum pekerja asing bagi pasaran pekerjaan untuk pekerja tidak mahir dan separa mahir. Ini bagi membolehkan buruh tempatan mendapat kos sara hidup mencukupi dengan peningkatan harga barangan minyak dan krisis makanan dunia yang berlaku pada masa sekarang.

Konsep Produktiviti, Pindahan Teknologi, Pelaburan Langsung Asing dan Pertumbuhan dan Pembangunan Ekonomi.


1. Produktiviti


Produktiviti merupakan suatu isu yang semakin diberi perhatian, pelbagai faktor digunakan bagi mendapatkan pengukuran tahap produktiviti yang sesuai digunakan di bahagian pengeluaran. Konsep Produktuviti ialah nilai atau kuantiti output yang dapat   dihasilkan oleh satu unit input. Output adalah keluaran atau perkhidmatan yang dihasilkan oleh sesebuah organisasi yang mengeluarkan Keluaran dan Perkhidmatan. Manakala, input merupakan sumber-sumber yang digunakan      untuk menghasilkan output. Input merangkumi Tenaga Manusia, Teknologi, Kelengkapan, Modal dan Sistem Pengurusan. Terdapat banyak faktor yang mempengaruhi Produktiviti antaranya adalah tenaga manusia, modal, input, teknologi, persekitaran pekerjaan, pengurusan, struktur organisasi, system dan prosedur. Melalui tenaga manusia iaitu buruh untuk meningkatkan produktiviti dengan melatih kakitangan dalam bidang-bidang berkaitan, memotivasikan kakitangan supaya menghasilkan kerja dengan cemerlang dengan pemberian bonus,kenaikan pangkat dan gaji, menggalakan penglibatan kakitangan dalam penentuan matlamat organisasi dan dalam penyelesaian masalah produktiviti dan mewujudkan komunikasi yang berkesan dalam jabatan atau pejabat.
Dengan adanya modal, syarikat dapat menyelenggara kelengkapan modal mengikut jadual, menentukan kelengkapan modal berada dalam persekitaran operasi yang baik, dan merancang penggunaan  kelengkapan supaya semuanya dapat digunakan dengan optimum. Dengan adanya input pula, syarikat boleh menjalankan pemeriksaan kualiti pada bahan-bahan input yang diperolehi daripada pembekal, memberi pendidikan kualiti kepada pembekal dan mengamalkan sistem inventori yang baik untuk mengelakkan pemegangan stok yang berlebihan bagi bahan-bahan. Selain itu, teknologi membolehkan produktiviti pengeluaran output secara cekap dan berkesan, pengeluaran secara besar-besaran (mass production), berlaku pengkhususan kerja yang mana membolehkan pekerja menjadi mahir dalam bidang tertentu dan pengeluaran semakin meningkat.

2. Pindahan Teknologi



Pemindahan teknologi adalah selaras dengan dasar kerajaan supaya syarikat-syarikat di Malaysia mengenalpasti mana-mana teknologi yang sesuai dan terkini yang boleh dipindahkan ke negara ini supaya dapat menyumbang kepada peningkatan keupayaan industri, terutamanya dengan pembelian keupayaan sedia ada dalam syarikat-syarikat tempatan. Pemindahan teknologi mesti ditambah dengan keupayaan tenaga manusia dalam syarikat-syarikat tempatan dan inisiatif tempatan untuk memahirkan dan mengoperasikan teknologi yang diperolehi itu serta menggalakkan inovasi dalaman dalam syarikat. Pindahan teknologi tidak sepatutnya dianggap sebagai penerima teknologi asing secara langsung dan terus bergantung kepada pihak luar untuk meningkatkan keupayaan teknologi itu. Pihak syarikat dan kerajaan perlu ada rancangan dan program komprehensif untuk memanfaatkan pindahan teknologi tersebut. Dengan mengadakan latihan-latihan bersesuaian kepada sumber manusia atau buruh tempatan serta menyediakan kemudahan-kemudahan untuk jurutera dan para juruteknik tempatan untuk mempelajari apa skill yang diperlukan dari pindahan teknologi tersebut. Lebih-lebih lagi pindahan teknologi bukan semata-semata bererti pembelian loji, mesin dan jentera tetapi melibatkan kepakaran, pengetahuan serta kemahiran-kemahiran yang berkaitan secara langsung dengan loji dan peralatan yang dibeli itu. Pindahan teknologi mesti melibatkan program penerapan (absorption) pengetahuan dan kemahiran yang secara terus akan meningkatkan keupayaan tenaga manusia dalam syarikat-syarikat yang menerima pindahan teknologi.
  
3. Pelaburan Langsung Asing


Pelaburan langsung asing (PLA) memberi kesan ke atas pembangunan ekonomi  menjadi tumpuan syarikat luar negara untuk melabur ke pasaran malaysia. PLA dipercayai mendatangkan kesan positif kepada negara penerima atau negara tuanrumah dalam bentuk sumber modal, kemahiran pengurusan, teknologi dan ekonomi. Walau bagaimanapun, ada juga pendapat yang mengatakan PLA mendatangkan kesan yang tidak diingini kepada imbangan pembayaran. PLA meningkatkan jumlah pekerjaan, menyediakan akses kepada pasaran eksport dan aktiviti penyelidikan dan pembangunan. Walau bagaimanapun, ada kalanya ia menyebabkan defisit dalam imbangan pembayaran negara. Keputusan yang diperolehi menyatakan bahawa, jika negara ingin mengekalkan pertumbuhan ekonomi, lebih banyak tumpuan perlu diberikan kepada sektor eksport, meningkatkan produktiviti buruh dan menggerakkan tabungan domestik, berbanding dengan terlalu bergantung kepada modal asing. Daripada keputusan yang diperolehi, diharap ia dapat dijadikan panduan kepada pembuat-pembuat polisi bagi merancang dan memastikan PLA yang memasuki Malaysia dapat dioptimakan faedahnya bagi kepentingan negara.
Sebagai contoh berdasarkan sumber Kementerian Perdagangan Industri dan Antarabangsa, pada tahun 2007, jumlah pelaburan langsung asing yang diterima oleh Malaysia dari segi projek perkilangan yang diluluskan adalah sebanyak US$9.7 bilion, iaitu yang ketiga tertinggi di kalangan sepuluh negara ASEAN selepas Indonesia dengan US$20 bilion dan Viet Nam sebanyak US$10.4 bilion. Pelaburan langsung asing utama ke kedua-dua negara ini adalah tertumpu kepada industri petroleum dan kimia, berbanding Malaysia yang menerima pelaburan langsung asing paling besar dalam industri elektrik dan elektronik. Negara-negara destinasi utama pelaburan langsung asing ASEAN yang lain seperti Singapura , Thailand dan Filipina masing-masing mencatatkan US$9.5 bilion, US$9.0 bilion dan US$2.0 bilion. Sektor-sektor industri yang digalakkan di Malaysia adalah sektor yang memberi nilai tambah tinggi, berteknologi tinggi dan berintensifkan modal.
  
4. Pertumbuhan Ekonomi dan Pembangunan




Pertumbuhan dan pembangunan ekonomi adalah dua konsep yang tidak dapat dipisahkan. Pembangunan bermatlamat menentukan usaha pembangunan yang berterusan dan tidak memusnah dan memupuskan sumber asli. Manakala teori dan model pertumbuhan yang dihasilkan dijadikan panduan dan penggubalan dasar negara. Konsep pembangunan dikupas dalam teori pertumbuhan dan pembangunan dan cuba menganalisa secara kritikal dengan melihat kesesuaiannya dalam konteks negara. Walaupun tidak semua teori atau model dapat digunakan, perbincangan mengenai peranan faktor pengeluaran termasuk buruh, tanah, modal, pengusaha, teknologi dan pengurusan boleh menjelaskan sebab-sebab berlakunya ketiadaan pembangunan dalam sebuah negara. Pada peringkat awal, pendapatan per kapita menjadi pengukur utama bagi pembangunan.
Walau bagaimanapun, melalui perubahan masa, aspek pembangunan manusia, kesihatan, pendidikan dan pembangunan lestari semakin ditekankan. Pembangunan lestari (sustainable development) melihat kepada aspek kebajikan generasi akan datang melalui kehendak masa kini. Ini, diandaikan bahawa konsep pembangunan dan pertumbuhan tidak ditafsirkan dari perspektif ekonomi semata-mata, malah merangkumi pelbagai disiplin seperti pendidikan, perindustrian dan perkhidmatan.


 Thanks to Cik Zainab Wahidin