journey without destination

journey without destination

Tuesday, April 12, 2011

Masalah Alam Sekitar Berhubung Dengan Pembangunan Perbandaran



Pengenalan
Masalah pencemaran alam sekitar di negara ini selalu mendapat perhatian orang ramai dan pihak berkusa. Menurut satu laporan iaitu  Laporan Kualiti Alam Sekitar yang menilai kualiti alam sekitar menerusi kaedah kajian saintifik, mereka menerangkan bahawa semakin banyak projek pembangunan dilaksanakan, maka semakin menurun kualiti alam sekitar.

             Keadaan ini menyebabkan timbul kesangsian terhadap projek-projek pembangunan yang bertentangan dengan kepentingan alam sekitar. Merujuk kepada Laporan Kualiti Alam Sekitar 1991 yang dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar pada 23 Julai 1992 menyatakan kualiti alam sekitar Malaysia kian parah tercemar dan keadaan ini bakal menjadi lebih teruk dari hari ke hari.

Banyak usaha-usaha yang telah dan akan dilakukan untuk mengatasi masalah ini, namun keadaaan ini tidak berubah kerana pencemaran alam sekitar di negara ini telah pun sampai ke tahap yang agak serius dan membimbangkan serta menggugat kestabilan alam sekitar itu sendiri. Jika dikira dengan apa yang berlaku sekarang, maka para saintis, jurutera, penggubal dasar, malahan pemimpin-pemimpin nampaknya mulai sedar bahawa perlunya pendekatan untuk membincangkan krisis alam sekitar secara serius menerusi pelbagai persidangan, konvensyen, seminar dan mesyuarat.

Apa itu sebenarnya yang di maksudkan dengan pencemaran? Pencemaran ialah merujuk kepada apa-apa perubahan yang berlaku langsung atau tidak lansung kepada sifat-sifat fizikal, haba, kimia, biologi atau radioaktif mana-mana bahagian alam sekitar dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan bahan-bahan buangan hingga menjejaskan apa-apa kegunaan yang berfaedah dan menyebabkan suatu keadaan yg berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau kepada binatang seperti burung, hidupan liar, hidupan akuatik atau tumbuhan-tumbuhan.

           Masalah pencemaran air, tanah dan udara sentiasa menghantui manusia tetapi ada antaranya yang hanya memejam sebelah mata. Antara punca penyebab pencemaran adalah daripada kegiatan perindustrian, pembalakan, pembakaran terbuka, kenderaan bermotor dan sebagainya. Pencemaran dapat dibahagikan kepada 3 jenis iaitu pencemaran udara, pencemaran air dan pencemaran tanih.

Terdapat banyak takrifan yang cuba menjelaskan mengenai pencemaran udara. Definisi umum pencemaran udara ialah satu keadaan yang melibatkan kehadiran sebarang gas atau zarah yang toksik atau radioaktif dalam atmosfera, khususnya yang terhasil menerusi aktiviti-aktiviti manusia dalam pelbagai bidang. Namun biasanya orang ramai akan mengaitkan  pencemaran udara ialah  pelepasan asap atau bahan-bahan pencemar lain daripada ekzos kenderaan, stesen penjana kuasa, kilang serta pembakaran bahan api fosil secara domestik di kawasan bandar dan industri. Pencemaran udara juga  boleh terjadi secara semula jadi iaitu melalui letusan gunung berapi, penyerakan habuk atau debu berpunca daripada tiupan angin yang kuat dan sebagainya.

            Merupakan satu keadaan yang melibatkan kehadiran sebarang gas atau zarahan yang toksik atau radioaktif dalam atmosfera. Bila memfokus kepada kigiatan indusrti secara jelas kita dapat perhatikan pelepasan asap-apa bahan yang kotor oleh industri dan sebagainya terus ke udara melalui cerobong-cerobong asap kilang. Asap-asap yang dikeluarkan ini mengandungi antaranya PM10,  Karbon Dioksida (CO2), Nitrogen Oksida dan sebagainya yang mana ia merupakan penyebab kepada punca utama penipisan lapisan ozon. Selain itu bahan-bahan pencemar yang dilepaskan ke udara ini juga akan mengakibatkan pelbagai kesan buruk kepada alam sekitar seperti pemanasan suhu global, hujan asid dan jerebu.




Punca Pencemaran Udara
Banyak sebab-sebab atau punca-punca yang dikenal pasti antaranya pembakaran terbuka dan meluas, perindustrian, perkilangan, kenderaan bermotor, penyemburan racun serangga dan pelepasan gas kloroflurokarbon (CFC). Pengeluaran asap merupakan penyumbang kepada peningkatan kadar pencemaran udara yang tertinggi. Ini kerana di kawasan bandar terdapat terlalu banyak kenderaan bermotor dan kilang yang menjadi penggerak masyarakat ke sesuatu tempat khususnya untuk ke tempat kerja.

Di Bandar juga terdapat banyak pengangkutan awam dan perkhidmatan pengankutan seperti bas, teksi, kereta api dan sebagainya. Kilang-kilang juga banyak mengeluarkan asap-asap ke udara. Seperti yang kita sedia maklum kilang-kilang ini sudah menjadi nadi kepada pembangunan sesuatu bandar tersebut.

            Sumber utama yang menyebabkan udara tercemar ialah adanya zat kimia di udara yang melampaui batas.  Bahan-bahan kimia seperti plumbum adalah tergolong dalam kumpulan logam berat.yang mana ia mempunyai pelbagai kegunaan seperti penumbuk asid plumbum, logam mesin cetak, logam yang diperlukan dalam pembuatan cat dan sebagainya. Plumbum yang digunakan ini akan dibebaskan ke udara daripada bahan api kenderan bermotor  dan kilang-kilang industri. Plumbum tersebut mengandungi bahan kimia antiketuk dan tetraetil plumbum yang boleh merosakkan udara.

                 Bukti yang jelas dapat dilihat berdasarkan kepada laporan yang dibuat oleh sekumpulan penyelidik pencemaran udara Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Mereka mendapati kepekatan logam plumbum dalam zarah terampai di Stesen Pengawasan Kualiti Udara UTM agak tinggi pada bulan Januari hingga bulan Februari 1986, iaitu 0.45 µg/m³. Bagaimanapun, pengawasan seterusnya mendapati kepekatan logam plumbum semakin menurun khususnya pada bulan September hingga Disember tahun yang sama, iaitu 0.24 µg/m³.

Selain daripada plumbum, karbon monoksida juga antara penyebab kepada pencemaran udara. Karbon monoksida (CO) merupakan gas yang tidak berwarna dan tidak berbau yang lebih ringan daripada udara. Gas ini dihasilkan oleh pembakaran yang tidak lengkap yang menghasilkan konsentrasi CO lebih dari 32 ppm (parts per million, bagian per juta). Ia akan  mengaggu sistem penafasan. Kebanyakkan gas CO ini dihasilkan menerusi kenderaan bermotor. Mengikut statistik yang dikeluarkan terdapat kira-kira 60% hingga 70% CO dihasilkan oleh kenderaan bermotor.

Selain itu, hidrokarbon juga merupakan sumber yang mencemarkan udara. Hidrokarbon merupakan sebatian organik yang terdiri daripada hidrogen dan karbon. Hidrokarbon ini boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu alifatik dan aromatic. Hirokarbon jenis alifatik mengandungi alkana, alkena dan alkuna. Alkena merupakan hidrokarbon yang tidak tepu yang begitu reaktif dalam fotokimia atmosfera. Dalam sinaran terik suria, alkena akan bertindakbalas dengan nitrogen dioksida yang mempunyai kepekatan yang tinggi untuk membentuk bahan pencemar sekunder seperti ozon dan peroksetil nitrat.(PAN).

Kereaktifan alkena menyebabkan ia lebih penting dalam kajian tentang pencemaran udara berbanding dengan alkana. Olefin dan etilena adalah antara contoh kepada alkena. Kebanyakkan etilena lazimnya dibebaskan oleh kenderaan bermotor dan sektor perkilangan.Selain itu juga, etilena boleh menyebabkan kepada kemusnahan tumbuh-tumbuhan. Apabila tumbuhan kurang di bandar maka masalah seperti pemanasan suhu bandar akan berlaku dan ini akan lebih banyak menimbulkan masalah berkaitan dengannya lagi.

Pencemaran juga berlaku disebabkan oleh sumber Nitrogen Oksida yang melampau jumlahnya. Nitrogen Oksida merupakan gas toksik yang mempunyai bau yang kurang menyenangkan. Gas ini juga terdapat dalam asap fotokimia yang begitu berbahaya terhadap sistem pernafasan manusia. Hampir 96% daripada penghasilan Nitrogen Oksida adalah berkaitan dengan proses pembakaran bahan api di mana 40%  berasal dari pembakaran kenderaan bermotor dan industri pembangkit listrik yang bersifat beracun dan katalis pembangkit kabut.

Terdapat dua sumber utama Nitrogen Oksida semasa proses pembakaran bahan api fosil iaitu oksida nitrogen terma dan oksida nitrogen bahan api. Oksida nitrogen terma terhasil apabila nitrogen dan oksigen dalam udara pembakaran dipanaskan sehingga mencapai suhu yang tinggi untuk mengoksidakan nitrogen. Manakala oksida nitrogen bahan api pula terhasil melalui pengoksidaan sebatian nitrogen yang secara kimianya bertaut dalam molekul bahan api tersebut. Bahan api yang berlainan mengandungi jumlah nitrogen yang berbeza.

            Terdapat satu lagi sumber utama yang menjerumuskan kepada pencemaran udara di bandar iaitu Karbon Dioksida. Gas ini dihasilkan oleh pembakaran yang dikenali sebagai BBM, hasil fermentasi letusan vulkanik dan pernafasan makhluk hidup. Gas ini sebenarnya penting untuk proses Fotosistesis pokok nanum oleh kerana di Bandar terdapat kurangnya jumlah tumbuhan maka gas ini tidak dapat digunakan untuk menhasilkan gas Oksigen. Dari hari ke hari jumlahnya akan bertambah dan jumlah Oksigen akan terus berkurang kerana manusia dan haiwan sentiasa bernafas. Hal ini seterusnya akan menyebabkan sesak nafas dan kematian kepada kehidupan.


 Kesan Pencemaran Udara
            Pencemaran udara yang telah dikesan sejak bermulanya Revolusi Perindustrian di Great Britain . Sejak itu , kes-kes pencemaran udara yang serius telah berlaku . Sebagai contoh , di London pada 1950-an , kabus atau jerebu akibat pencemaran udara telah meragut nyawa lebih daripada 4,000 orang . Untuk melihat kesan ini kita boleh membahagikan kepada beberapa jenis.


Kesan Terhadap Manusia    
            Kesan terhadap manusia berlaku terhadap kesihatan manusia yang mana Bahan-bahan pencemar di udara akan menyebabkan gangguan penafasan manusia serta penyakit-penyakit peparu seperti barah, sakit jantung. Menurut kajian klinikal, epidemiological dan toksikologikal telah menunjukkan betapa pendedahan menusia kepada plumbum akan mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan. Daripada kajian ini mereka mendapati tiga sistem dalam badan manusia yang paling sensitif terhadap plumbum ialah sistem pembentukan darah, sistem saraf dan sistem renal.

      Seperti logam-logam berat yang lain, kesan plumbum boleh berlaku dalam dua bentuk iaitu akut dan kronik. Gejala keracunan plumbum secara akut termasuklah kolik atau kembung, muntah, cirit-birit berdarah, dan kesan-kesan lain terhadap sistem saraf pusat. Gejala-gejala keracunan kronik pula termasuklah sakit kepala, lemah badan, kelesuan dan garis biru sepanjang gusi dan lain-lain.

Kesan Ke Atas Persekitaran


Pulau haba
            Pulau haba merupakan analogi iklim dan geomorfi bagi sesebuah  yang wujud sebagai sebuah bandar yang dikelilingi laut. Ia membawa maksud bahawa kawasan bandar itu diibaratkan seperti sebuah pulau kerana mempunyai suhu yang lebih tinggi berbanding kawasan sekelilingyna atau kawasan pinggir bandar. Bandar tersebut mempunyai kelainan dari segi iklim dan geomorfi yang melibatkan parameter-parameter suhu, hujan, kualiti udara, dan seumpamanya. Secara umumnya, wujud sekurang-kurangnya lima faktor yang mewujudkan pulau haba.

            Antara faktor tersebut ialah kerana di bandar terdapat kemudahan dan teknologi moden seperti penyaman udara yang bertujuan untuk menyamankan ruang bangunan, kenderaan dan rumah, serta operasi industri. Alat penyaman udara  mengepam keluar udara hangat dalam sesuatu bangunan atau kenderaan bagi menghasilkan udara yang bersuhu rendah. Penyaman udara ini banyak membebaskan gas CFC ke udara yang menjadi salah satu kepada penyebab suhu udara di bandar lebih panas.

            Teknologi lain seperti peti sejuk dan penyembur racun serangga juga turut membebaskan CFC. Kenderaan di bandar yang banyak juga telah menyebabkan fenomena ini. Pembesan asap dan gas dari kenderaan dan kilang-kilang akan menyebabkan iklim bandar menjadi lebih panas. Selain itu keadaan bandar itu sendiri yang memerangkap haba. Bangunan yang mempunyai cermin akan menyebabkan bahang matahari terperangkap selain permukaan lanskap bandar yang gelap seperti jalan raya dan tempat parking kenderaan. Kematian akibat Heat Stroke boleh berlaku jika suhu melebihi 40.6°C.


Jerebu

Jerebu juga akan berlaku akibat terlalu banyak gas-gas, asap dan bahan-bahan teranpai lain yang menyelubungi udara di sesebuah Bandar. Jerebu berlaku apabila gas-gas dan asap yang dilepaskan ke udara melalui sektor perindustrian, perlombongan, kenderaan bermotor, pembakaran terbuka dan sebagainya berkumpul di udara dan menghalang pemandangan. Penyumbang utama kepada fenomena jerebu adalah daripada  sektor perindustrian, kenderaan bermotor dan pembakaran terbuka.

Penggunaan bahan api seperti petroleum dan diesel merupakan bahan api yang mengandungi gas-gas yang boleh merosakkan kualiti udara. Gas-gas dan asap yang dibebaskanoleh kenderaan akan menghasilkangas-gas seperrti gas oksida nitrogen, oksida slfur, hidrokarbon, plumbum dan lain-lain gas yang boleh mencemarkan udara.

Pengumpulan gas-gas tersebut di udara untuk suatu jangka masa yang lama dan dengan kualiti yang banyak akan menyebabkan terjadinya fenomena ini. Akibat jerebu ini akan menyebabkan manusia akan kekurangan makanan kerana cahaya matahari tidak sanpai ke permukaan bumi untuk proses pertanian. Kemalangan kereta atau kapal terbang juga boleh berlaku kerana jarak penglihatan akan terbatas dan fenomena ini akan menjadi lebih buruk lagi apabila berlakunya hujan asid.



Hujan Asid
          Hujan asid terjadi apabila gas-gas beracun yang dibebaskan oleh sektok-sektor perindustrian bergabung dengan molekul-melekul air di udara. Seperti yang kita tahu kilang-kilang banyak membebaskan gas-gas beracun ini seperti Nitrogen Oksida, Sulfur Dioksida dan Nitrogen Dioksida. Gas-gas inilah yang akan larut dalam udara yang lembap dan akan turun ke bumi sebagai hujan. 


           Ia telah dikenal pasti sebagai satu kesan yang memudaratkan. Sebenarnya, sulfur dioksida ini juga dihasilkan oleh kejadian semulajadi iaitu oleh letupan gunung berapi. Tetepi, hanya 10% sahaja terhasil apabila letupan gunung berapi, 90% yang lain adalah dihasilkan oleh kegiatan manusia. Antara kesan daripada hujan asid ialah menyebabkan kematian haiwan dan tumbuhan. 


           Tasik yang terlalu berasid tidak sesuai lagi untuk hidupan. Sebagai contoh, banyak tasik di Sweden adalah terlalu berasid dan tidak mempunyai hidapan dalamnya . Bangunan juga terhakis akibat hujan asid dan jika ia terkena kepada kulit manusia maka akan menyebabkan kanser kulit.


Kesan rumah hijau

            Ia juga dikenali dengan rumah kaca. Penghasilan karbon dioksida oleh kilang-kilang secara berlabihan merupakan punca kesan rumah hijau. Gas yang lain seperti metana , CFC dan nitrus oksida turut menyumbang kepada fenomena ini. Ia di adaptasikan dari rumah kaca yang dibina dikawasan yang mempunyai dua musim nyata yang mana rumah kaca ini dibina bertujaun memerangkap haba bagi tujuan pertaian. 


          Dengan adanya teknologi ini pertanian dapat dijalankan sepanjang musim. Hal ini samalah dengan fenomena rumah hijau yang belaku di bandar yang mana suhu dibandar akan sentiasa tinggi kerana bahangan matahari tidak dapat dipantulkan kerana diperangkap oleh gas-gas yang meliputi kawasan bandar tersebut.

            Kesan rumah hijau merupakan pemanasan bumi yang tidak terkawal. Kesan rumah hijau boleh mengakibatkan kejadian yang lain yang lebih dasyat antaranya kenaikan suhu bumi yang akan mengakibatkan ketulan-ketulan ais di Artik dan Antartika mencair. Seterusnya iakan menyababkan paras air laut akan semakin meningkat dan membanjiri kawasan-kawasan yang rendah. Ini menyebabkan penduduk kawasan tersebut terpaksa berpindah dan merosakkan harta benda dan kerugian serta menjejaskan kegiatan ekonomi manusia.



Langkah - Langkah Mengurangkan Pencemaran Udara  
         
          Terdapat tiga cara utama yang boleh diambil untuk melindungi kualiti alam sekitar. Cara yang dimaksudkan ialah :



Perundangan

            Kementerian Sains dan Alam Sekitar melindungi alam sekitar melalui penguatkuasaan undang-undang dan akta ke atas orang ramai. Undang-undang mengenai pelbagai jenis pencemaran harus memberi panduan tentang langkah-langkah yang perlu dijalankan untuk mengawal kadar pencemaran, terutamanya dari kilang-kilang perindustrian.

          Selain itu melalui perundangan dengan menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, Pindaan 1985 yang mengenakan hukuman denda dan penjara terhadap sesiapa sahaja yang didapati bersalah atas tuduhan mencemar atau merosakkan sumber alam. Kerajaan juga boleh magadakan kawasan sumber yang diwartan sebagai kawasan pemeliharaan seperti Taman Laut danTaman Negara.

         Banyak lagi yang telah dilakukan oleh kerajaan bagi menjaga kualiti alam sekitar melalui undang-undang ini seperti penggubalan Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, 1984 (pindaan) mula dikuatkuasa pada 1 April 1988, Peraturan Kenderaan Bermotor ( Kawalan Pelepasan Asap, 1977 ) dikuatkuasa pada 15 Mac 1978, Peraturan Kualiti Alam Sekitar ( Udara Bersih, 1978 ) dikuatkuasa pada 1 Oktober 1978 dan sebagainya.


Penggunaan Teknologi

            Penggunaan teknologi moden untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar adalah amat penting. Dengan adanya teknologi moden, sisa pepejal seperti surat khabar lama, majalah lama, kertas, kain, bahan plastik dan kaca dapat dikitar semula. Ini sudah tentu dapat mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh pengurusan sisa pepejal yang tidak sempurna. Bahan-bahan buangan industri pertanian boleh diubah kepada bahan-bahan yang berguna dan kurang bahaya.

           Sebagai contoh, sampah sarap boleh dijadikan bahan api untuk menghasilkan tenaga elektrik. Hampas pertanian seperti hampas kelapa sawit boleh digunakan untuk menghasilkan metana. Selain itu, dengan adanya teknologi moden, penapis udara telah dicipta dan dipasang pada ekzos kenderaan dan cerobong asap kilang-kilang perindustrian. Penggunaan petrol tanpa plumbum juga merupakan satu hasil daripada penggunaan teknologi moden. Ini dapat mengurangkan kandungan plumbum dalam atmosfera yang bahaya kepada kesihatan manusia. Penyelidikan ke atas minyak kelapa sawit sebagai pengganti bahan api fosil adalah satu usaha yang menggalakkan pengurangan pencemaran alam sekitar.


Pendidikan

            Tanggungjawab untuk menjamin sebuah negara yang bersih bukan sahaja dipikul oleh kerajaan tetapi patut dipikul oleh semua pihak. Untuk membentuk rakyat yang bertanggungjawab kepada alam sekitar, mereka perlulah mempunyai kesedaran. Untuk memupuk kesedaran di kalangan rakyat, cara yang terbaik ialah melalui pendidikan. Sebab-sebab pendidikan alam sekitar ini perlu ialah kerana ia dapat membentuk sikap positif diri terhadap alam sekitar.

          Dengan adanya kesedaran pada seseorang individu, dia akan sedar tentang betapa pentingnya kualiti alam sekitar yang tinggi dikekalkan. Ini kerana mereka sudah tahu apakah masalah yang mungkin akan timbul akibat sesuatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab yang mencemarkan alam sekitar. Pendidikan alam sekitar mula diperkenalkan secara formal pada peringkat rendah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dalam mata pelajaran Alam dan Manusia.

       Seterusnya adalah pada peringkat menengah melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), khususnya dalam mata pelajaran sains seperti Biologi. peringkat ketiga dan terakhir ialah pengajian tinggi melalui kursus Sains Alam Sekitar dan Biologi Persekitaran.  Pendidikan alam sekitar kepada masyarakat umum pula disampaikan melalui media massa. Antara media massa yang memainkan peranan yang penting ialah surat khabar, majalah, televisyen dan radio. Selain itu, terdapat juga agensi kerajaan dan swasta yang mengadakan kempen dan ceramah.


Kesimpulan

            Pencemaran alam sekitar telah berlaku secara berleluasa dan ini telah menarik perhatian banyak pihak kerajaan atau pihak swasta mahupun orang perseorangan. Hal ini telah memberi kesan yang buruk kepada semua pihak. Dengan itu banyaklah langkah serta cadangan telah diberikan bagi mengatasi masalah ini. Namun masalah ini tetap berlaku juga kerana terdapat segelintir manusia yang rakus. Jika hal ini tidak dapat diatasi maka suatu hari nanti rosaklah bumi ini. 

Thanks to Ezwan n Dr. Salfarina