journey without destination

journey without destination

Wednesday, February 16, 2011

Cabaran Utama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam Merancang, Mengurus dan Mengawal Proses Pembangunan Bandar




1.0 Pengenalan
Pembangunan sesuatu kawasan memerlukan perancangan yang rapi, keperluan sesuatu kawasan untuk ditadbir dan dimajukan hanyalah dalam ruang lingkup kawasan yang dikhaskan sahaja. Maka, wujudlah kerajaan tempatan yang diberi tugas untuk memajukan sesebuah kawasan mengikut garis panduan yang telah digariskan.  Menurut  MALCOM W NORRIS (1980)” Kerajaan tempatan dalam konteks semenanjung Malaysia bermaksud kerajaan di kawasan Bandar, luar Bandar atau gabungan kedua-kedua kawasan ini dan dibawah kuasa kerajaan negeri masing-masing. Kerajaan tempatan mempunyai kedudukan yang sah dan berdaulat daripada kerajaan tertinggi itu. 


PBT di Malaysia merupakan satu agensi yang paling penting kerana struktur pentadbiran dalam kerajaan Malaysia meletakkan PBT sebagai kerajaan yang ketiga selepas kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri. Umum mengetahui bahawa PBT adalah agensi yang paling hampir dengan penduduk setempat kerana keadaan  aktiviti penduduk seharian  banyak yang melibatkan PBT seperti pelesenan, percukaian, kemudahan awam dan sebagainya. Oleh itu, PBT tidak pernah terlepas dari permasalahan dan sentiasa menjadi perhatian khasnya oleh penduduk tempatan. Dari dahulu sehingga kini PBT sering sahaja menjadi medan kritikan dan PBT berdepan dengan masalah. Dalam menuju era Negara maju 2020 selaras dengan wawasan kerajaan, PBT juga harus seiring dalam meneroka pembangunan untuk kemajuan sesuatu kawasan.Kini, PBT telah berdepan dengan pelbagai cabaran antaranya dalam aspek politik, ekonomi,  sosial,  teknologi dan alam sekitar.  PBT kini perlu  matang dan dewasa dalam menghadapi masalah dan cabaran yang kian hebat dek tekanan semasa dan pelbagai krisis yang sedang memuncak kini.

2.0  Cabaran Utama Yang dihadapi oleh Kerajaan  Tempatan
2.1 Cabaran dalam aspek Politik


Pihak berkuasa tempatan (PBT) kini kian di hujani dengan cabaran dan masalah. masalah pertama yang dihadapi oleh PBT  kini adalah masalah politik (campur tangan ahli politik). Merujuk kepada asas pelantikan ahli majlis adalah berdasarkan lantikan oleh kerajaan negeri akan tetapi kini kebanyakan kerajan negeri lebih gemar melantik ahli majlis daripada anggota  parti mereka. Perkara ini jelas telah membawa pelbagai masalah bahkan telah menyusahkan penduduk dikawasan tersebut. Pelantikan ahli majlis sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan negeri tetapi yang menjadi persoalannya apabila kerajaan negeri cenderung melantik mereka yang mewakili parti masing-masing timbul permasalahan samada mereka yang dilantik itu mewakili parti ataupun mewakili  penduduk tempatan di situ. Hal ini jelas apabila ahli majlis yang dilantik mewakili parti ianya dikira bertentangan dengan syarat lantikan kerana pelantikan ahli majlis adalah untuk mewakili penduduk seterusnya menyuarakan masalah penduduk kepada pucuk pimpinan dan bukannya menjadikan PBT sebagai agenda politik masing-masing. Setiap PBT mempunyai ahli majlis yang terdiri daripada kalangan pemimpin masyarakat yang dilantik oleh kerajaan negeri. Ahli majlis adalah mewakili masyarakat setempat dan berperanan sebagai  “bersama dalam pembentukan dasar sesebuah PBT” sungguhpun dalam akta kerajaan tempatan (akta171), telah dinyatakan bahawa ahli majlis yang dilantik adalah terdiri daripada mereka yang mewakili orang Melayu, orang India dan orang Tionghua tetapi realiti pada hari ini ialah ahli majlis yang dilantik sekarang ini adalah mereka yang terlibat dalam politik secara langsung dan dalam kalangan NGO seperti dewan perniagaan dan sebagainya. Hari ini tidak dinafikan NGO ini pun sebenarnya orang yang terlibat dalam politik maka tidak hairanlah jika dulu BN memerintah maka kalangan ahli majlis yang dilantik dari UMNO, MCA dan MIC manakala bagi negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor pula rata-rata ahli majlis terdiri daripada DAP, PAS dan PKR. Maka, dasar sesebuah PBT sebenarnya sentiasa tertakluk kepada suasana politik semasa dan hal ini tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak kerana ini adalah fakta suasana pbt pada hari ini.

Antara kes yang jelas memperlihatkan campur tangan politik dalam pelantikan ahli majlis ialah kes pelantikan dua orang calon ahli Majlis Perbandaran  Ampang Jaya (MPAJ). Pelantikan kedua-dua calon ini dipertikai kerana seorang daripada mereka dibuktikan mempunyai rekod jenayah dan sumber polis telah mengesahkan bahawa calon tersebut sememangnya mempunyai rekod jenayah dalam kes samun berdasarkan semakan kad pengenalan oleh PDRM. Dibuktikan juga bahawa calon ini pernah dibuang daerah pada tahun 2003. Manakala seorang lagi  calon yang akan dilantik juga pernah terbabit dalam kongsi gelap. (sumber:www.pemuda-enggang.org.3 july 2008). Kes ini telah didedahkan oleh seorang penduduk Ampang Jaya sendiri yang suratnya telah dihantar kepada menteri besar iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim. Sebenarnya yang menjadi permasalahannya mengapa pelantikan ini telah mendapat sokongan ketua wanita keadialn rakyat  (PKR), Zuraida Kamarudin dan mendapat perkenan menteri besar iaitu tan sri kahlid Ibrahim sedangkan banyak sumber telah membuktikan tuduhan ini malah  sumber PDRM juga  telah membuktikan kesahihan maklumat ini. Hal inilah yang dikatakan bahawa PBT sekarang berhadapan dengan campur tangan politik dalam sturktur dalamanya kerana manakan mungkin seorang yang mempunyai rekod jenayah dan seorang lagi yang bukan bermaustautin di situ dapat dilantik mengangotai ahli majlis perbandaran.  Sebenarnya,jika perkara ini diambil berat oleh semua pihak sudah pastinya kes seumpama ini tidak akan timbul.

Satu lagi kes yang pernah mencuri perhatian Negara malah telah melibatkan pihak istana sultan Selangor ialah kes yang melibatkan ahli Majlis Perbandaran Kelang iaitu datuk Zakaria Mat Deros yang telah mendirikan  “istana kayangannya” tanpa kelulusan pelan oleh MPK  sendiri dan perkara ini jelas memperlihatkan bahawa ahli majlis perbandaran kelang ini telah menggunakan kedudukannya sebagai ahli majlis perbandran untuk tujuan peribadi dan tindakannya jelas menyalahi undang-undang tempatan. Kes ini telah melibatkan campur tangan sultan Selangor yang tidak memperkenankan perbuatan ahli Majlis Perbandran Kelang itu.  Jadi inilah yang dikatakan pengaruh politik adalah cabarab PBT kini kerana kedudukan ahli majlis perbandran kelang itu sendiri sebagai ketua umno bahagian telah “merestuinya” untuk melantik anaknya dan menantunya turut serta berada dalam ahli majlis perbandaran kelang. Kes ini jelas menunjukkan bahawa politik mempengaruhi PBT dan mempengaruhi dasar PBT tersebut.

Maka, jelaslah bahawa PBT kini mempunyai cabaran yang sangat besar kerana campur tangan politik. Ahli majlis yang duduk dalam setiap majlis perbandaran yang terdiri daripada parti politik ada segelintir daripada mereka tidak mampu mampu bersikap efisien dan adil terhadap penduduk yang diwakilinya. Sebelum 1970 ahli majlis dipilih oleh pengundi maka ini memberi pilihan kepada pembayar cukai memilih sendiri wakil yang layak oleh mereka untuk menguruskan perbandaran mereka. Justeru, sudah tiba masanya  sIstem pelantikan ahli majlis perlu dirombak dan dibaiki system pelantikannya agar lebih telus dan cekap selaras dengan kehendak masyarakat setempat. Dalam hal ini, pembentukan dasar  PBT, tidak kiralah samada negeri itu diterajui oleh BN ataupan Pakatan Rakyat (PKR) dasar yang perlu diutamakan adalah untuk kesejateraan rakyat.

2.2  Cabaran dalam aspek Ekonomi


Cabaran ini kini menjadi satu masalah dan cabaran yang amat kronik jika dilihat dari aspek keadan ekonomi global yang menghadapi krisis. Keadaan dunia yang mula menghadapi krsis ekonomi yang kian menguncup telah dirasai oleh Malaysia. Pembuangan pekerjaan yang saban hari kian meningkat ditambah banyak kilang-kilang telah mula memperlahankan operasi, hal-hal ini sebenarnya memberi kesan kepada PBT. Ramai penganalisis ekonomi menyatakan bahawa krisis kali ini akan lebih teruk daripada krisis yang dialami semasa tahun 1997 kerana krisis ekonomi kali ini mengambil masa yang agak perlahan untuk dirasai dan pastinya ramai yang akan merasainya dalam jangka masa yang agak panjang. PBT mempunyai peranan dan tanggungjawab yang agak berat dalam menghadapi krisis ekonomi kerana kemungkinan ramai penduduk setempat di sesuatu PBT tidak mempunyai pekerjaan dan inilah masanya untuk PBT mempelbagaikan cabang ekonomi di kawasan itu. PBT yang diperbadankan dibawah akta kerajaan tempatan (akta171) yang dari segi kekuasaanya mempunyai kuasa autonomi dalam hal ehwal pentadbiran, pengurusan dan kewangannya. PBT mempunyai kawalan penuh dalam pengurusan  kewangannya dari segi hasil cukai pinti, hasil bukan cukai dan lain-lain hasil. 


Dalam mengatasi masalah ekonomi PBT sebenarnya mempunyai banyak cara dan mekanisma untuk  “melarikan diri”  daripada masalah kewangan akan tetapi semuanya ini bergantung kepada kebijaksanaan seseorang Datuk Bandar ataupun YDP  dalam mengolah hasil-hasil PBT. Kini media sering  mengeluarkan berita tentang kepincangan PBT dalam menguruskan sesebuah kawasan dan isu yang sering dimainkan adalah kegagalan PBT menguruskan sisa buangan sampah sarap seperti kelewatan pungutan sampah dan kadang kala tidak memungut langsung timbunan sampah sedangkan penduduk terpaksa membayar cukai pintu. Penyebab yang biasa kedengaran berhubung perkara ini ialah kekurangan modal iaitu wang kerana semua pengambilan pekerja, pembelian lori sampah dan penyelenggaran asset jentera PBT semuanya berkaitan wang.  Masalah ini sebenarnya bukan dialami oleh semua PBT tetapi hanya  segelintir PBT  sahaja dan PBT yang berstatus majlis perbandaran dan majlis daerah  kebanyakanya tidak mengalami masalah ini kerana YDP  mereka bijak mencari hasil-hasil baru dan bagi PBT yang berstatus Majlis Bandaraya juga segelintir sahaja yang mengalami masalah ini. Contohnya Majlis Bandaraya Alor Setar. Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Melaka dan Majlis Bandaraya Kuching hanya mengalami defisit tetapi tidak mengalami masalah kewangan kronik. (sumber: rencana Tan Sri Sidek Hassan.3 nov 2008). Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Majlis Perbandaran Kota Baru (MPKB) mengalami masalah kewangan.  Dalam keadaan ekonomi yang kian meruncing kini,d atuk Bandar/YDP  sesebuah PBT  mestilah sentiasa peka mencari hasil baru untuk menentukan PBT tersebut boleh berjaya dan berprestasi tinggi. Sebenarnya merujuk rencana yang dikeluarkan oleh Tan Sri Sidek Hasan mengatakan dalam menjadikan sesebuah PBT berkuasa dalam menjana ekonomi YDP  dan ahli majlis perlu berusaha mencari hasil baru dan memetik kata-kata Tan Sri Sidek Hasan yang berbunyi ”adakah wang akan dating bergolek ke riba datuk Bandar/YDP tanpa mengusahakannya??”.  


Merujuk kepada keadaan ekonomi semasa kini memang sesuailah PBT menjana ekonomi apabila YDP  memainkan peranan yang amat besar dalam meneroka hasi-hasil baru. PBT kini menghadapi cabaran yang amat hebat dengan masalah urbanisasi yang kian pesat dengan pertambahan penduduk di sesebuah PBT. Hal ini adalah cabaran dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu. Perkara ini tidak mustahil boleh merencatkan pelan pembangunan PBT,  sudah sampai masanya untuk PBT bukan hanya menumpukan kepada kebersihan dan kutipan sampah sahaja  tetapi berperanan dalam menarik pelaburan dalam dan luar negara ke kawasan PBT dalam usaha menambah pendapatan untuk tidak terus bergantung kepada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

2.3  Cabaran dalam aspek Pengurusan Alam Sekitar


Pengurusan Alam sekitar yang sistematik merupakan satu elemen penting dalam kesejahteraan dan keselamatan di kawasan Bandar mahupun luar Bandar kepada masyarakat suatu kawasan. Tanggungjawab bagi memulihara alam sekitar memerlukan penglibatan dan komitmen semua pihak daripada peringkat Kerajaan, sektor swasta, pertubuhan, masyarakat dan juga individu. Ianya mesti dilakukan melalui pembentukan budaya dan penghayatan nilai mesra alam serta mewujudkan keadaan yang saling memerlukan di mana setiap pihak memainkan peranan masing-masing. Dalam hal ini, PBT bertanggungjawab dalam pemuliharan, penjagaan dan penguatkuasaan undang-undang alam sekitar di kawasan masing-masing. Antara isu dan cabaran penjagaan alam sekitar adalah masalah pencemaran iaitu pencemaran air, udara dan bunyi. Selain itu, masalah yang lain adalah pelupusan bahan buangan, banjir kilat dan tanah runtuh.

Dalam hal ini, isu pencemaran air merupakan cabaran dan masalah yang utama, melalui  hasil pemantauan PBT di negeri masing-masing mendapati 146 batang sungai di seluruh negara, dan didapati 15 sungai termasuk Sungai Klang berlaku pencemaran dan banjir. Dalam hal ini, bilangan sungai yang tercemar semakin meningkat sejak tahun 1990.  Antara punca berlaku pencemaran sungai adalah masalah air kumbahan domestik kerana masalah pelan struktur yang berkaitan air kumbahan yang keluar dari rumah merupakan punca pencemaran air. Punca pencemaran air ini akan menjadi semakin serius pada masa kini dan akan datang kerana air tidak dibersihkan dahulu sebelum dibuang ke parit dan akhirnya masuk ke sungai. Menurut statistik, lebih 2/3 daripada sungai di negara kita telah dicemari dengan air kumbahan (sumber; Haliza Abdul Rahman, (2007) Suatu Tinjauan Terhadap Permasalahan Banjir Kilat di Lembah Klang, 8-9 September. 2007). Ini merupakan masalah yang serius kerana tidak semua rumah, bandar dan kawasan telah dibina sistem pembetungan dan air dialirkan ke tempat lain untuk dibersihkan sebelum ianya dibuang.

Selain itu, pencemaran udara juga merupakan cabaran bagi PBT kerana sumber udara yang bersih adalah keperluan kepada manusia dan kehidupan alam yang lain. Sebagai contoh, lebih daripada 90% pencemaran jerebu adalah disebabkan oleh pihak luar iaitu kebakaran di negara jiran dan pembakaran terbuka juga sering dilakukan oleh peladang dan peneroka untuk tujuan penanaman dan pertanian.  Ini merupakan satu cabaran bagi PBT, jika keadaan ini berlaku berterusan dan sekiranya tiada langkah diambil untuk memberi kesan yang lebih baik. Di dalam negara kita sendiri juga, pencemaran udara adalah berpunca dari penggunaan kenderaan di mana pembakaran bahan api termasuk yang dikeluarkan menyebabkan suhu meningkat. Pemasangan alat penyaman udara pada suhu yang tinggi juga merupakan pencemaran dari segi pembakaran gas yang tinggi. Pencemaran pelupusan bahan buangan juga merupakan cabaran utama PBT kerana bahan kimia dan toksik berbahaya dari kilang ini seperti lampu flourescent, bateri dan komponen telefon bimbit di mana penggunaannya adalah hampir semua orang. Pelupusan bateri dan komponen telefon bimbit ini akan menjadi satu masalah pada masa akan datang kerana ianya membahayakan. Dalam negara kita terdapat lebih 10,000 kilang yang mengeluarkan bahan buangan tersebut dan ianya sangat bahaya kepada orang ramai serta alam sekitar (Sumber: (2006) Simposium Pengurusan Alam Sekitar. Simposium Pengurusan Alam Sekitar. Laporan. 4 Disember 2006). Dalam hal ini, PBT memainkan peranan penting untuk menangani isu dan masalah ini. Selain daripada itu, masalah banjir kilat dan tanah runtuh merupakan cabaran kepada PBT dalam mengurus dan mengatasi masalah itu. Banjir kilat merupakan fenomena semula jadi, ia juga dipengaruhi oleh factor-faktor lain terutamanya tindakan manusia yang mengubah struktur permukaan tanah yang menyebabkan imbangan air hujan tidak seimbang. Di kawasan bandar misalnya, manusia banyak mengubah permukaan tanah dengan melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang terancang mahupun tidak terancang. Contohnya pembinaan jalan raya, bangunan, zon letak kereta dan sebagainya. Selain itu, banjir juga disebabkanoleh faktor lain seperti runtuhnya atruktur empangan, ribut, tsunami, gegaran tektonik dan letusan gunung berapi. Begitu juga dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku secara semulajadi dan melalui tindakan manusia yang melakukan pembangunan yang tidak terancang, contohnya pembinan petempatan perumahan dan bangunan di pinggir bukit yang berisiko tinggi terjadinya kejadian tanah runtuh di kawasan tersebut. Contohnya kejadian runtuhan bangunan Highland Towers pada tahun 1993 yang mengorbankan 48 penghuni dan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada akhir tahun 2008 yang mengorbankan 4 penduduk. Persoalanya disini adalah projek-projek perumahan seperti dilereng-lereng bukit mendapat kelulusan PBT dan Kerajaan Negeri. Dalam hal ini juga, PBT memainkan peranan penting dalam mengurus dan bekerjasama dengan berkuasa yang lain untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Selain itu juga, proses urbanisasi juga merupakan faktor kepada kejadian banjir kilat yang berlaku kerana proses perbandaran di kawasan Bandar ini yang tidak mengikut spesifikasi dan peraturan yang ditetapkan seperti pembinaan system perparitan yang tidak sempurna dan penggunaan tanah secara besar-besaran tanpa kawalan. Ini semua merupakan cabaran utama kepada PBT dalam mencari jalan penyelesaian isu ini.

2.4  Cabaran daalam aspek Teknologi


Dalam arus globalisasi pada masa kini, pertumbuhan teknologi begitu pesat dan telah meresap ke dalam sistem pengurusan kerajaan terutamanya. Dalam hal ini, pengunaan teknologi yang sistematik dan berkesan dapat mempercepatkan segala urusan dan peranaan serta fungsi kerajaan terutama PBT. Tetapi dalam hai ini, cabaran utama PBT dalam pengurusan pentadbiranya dan peranaannya kepada masyarakat amatlah mencabar, ini kerana  sistem pengurusan PBT yang sistematik membolehkan aduan dan perkhidmatan kepada masyarakat dengan lebih berkesan. Sebagai sebuah negara membangun dan dalam perjalanan menuju negara maju menjelang tahun 2020, Malaysia pasti tidak mahu ketinggalan dalam arus pembangunan teknologi maklumat. Perkembangan teknologi maklumat mempengaruhi perkembangan sistem teknologi komunikasi. Peralatan seperti mesin fakmili, komputer, internet dan satelit telah membantu dan mempermudahkan segala urusan kerajaan dalam pentadbiran.

Antara cabaran PBT dalam aspek teknologi adalah Sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Dalam hal ini, masih terdapat PBT yang tidak mengamalkan sepenuhnya amalan penggunaan ICT dalam penguatkuasaan dan menjalankan tugas. Ini menyebabkan berlakunya masalah ketidakecapan dalam pentadbiran, seterunya menyebabkan rungutan dan aduan daripada masyarakat di kawasan PBT itu. Pelbagai faktor yang menyebabkan masalah kurangnya penggunaan ICT oleh sesetengah PBT antaranya adalah kurangnya peruntukan kewangan oleh kerajaan negeri kepada PBT. Ini menyebabkan PBT tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk mendapat peralatan ICT yang canggih dalam melaksanakan tugas secara berkesan. Selain itu, peruntukan yang diberikan oleh kerajaan negeri juga digunakan untuk tujuan pentadbiran contohnya adalah membayar gaji, membeli peralatan pejabat, membeli kenderaan penguatkuasaan dan member kursus kepada anggota PBT. Selain  itu juga, kecanggihan teknologi ICT juga menyebabkan pebagai kesan negetif berlaku dan memberi cabaran kepada PBT antaranya adalah masalah pemberian maklumat palsu, masalah sosial remaja, perjudian dan sebagainya.
               Dalam hal ini, kemudahan ICT sering disalahgunakan untuk kepentingan peribadi. Gejala utama yang selalu dikaitkan dengan teknologi ICT ialah penyebaran maklumat palsu tentang penyelewengan dan rasuah oleh golongan tertentu. Selain itu, minat remaja terhadap ICT terutama teknologi internet dan alat komunikasi mendorong mereka menghabiskan masa di siber cafe, program seperti “chatting”, permainan video dan berbagai aktiviti itu membawa kesan dan cabaran tersendiri. Ramai pelajar yang ponteng sekolah, menyalahgunakan wang saku, meminjam wang bahkan ada yang sanggup menipu dan mencuri. Hal ini amat mencabar kepada pengurusan sekolah, pihak berkuasa terutamanya PBT, polis dan orang ramai terhadap masalah pelajar yang mengunjungi pusat internet di waktu persekolahan dan selepas persekolahan. Kesannya ialah masalah serta gejala sosial di kalangan remaja. Hal ini menyebabkan kerajaan terpaksa bertindak mengawal aktiviti remaja ke pusat pusat internet (sumber; Mohamed Imran Mohamed Ariff, Mohd Yadman Sarwan, Mohamad Zaki Zainul Universiti Teknologi Mara Perak, Kampus Seri Iskandar;
( 2005); ISU, CABARAN DAN IMPAK ICT).

Dalam pada itu juga, PBT, polis dan agensi yang terlibat mendapati berlakunya penyalahgunaan pusat internet sebagai pusat judi kerana permainan video yang berorientasikan perjudian  mendapat perhatian di kalangan orang dewasa dan golongan remaja. Justeru itu, PBT haruslah mempertingkatkan penggunaan penguatkuasaan menggunakan teknologi terbaru supaya segala bentuk perkhidmatan yang disediakan oleh PBT dapat disampaikan dengan berkesan contonya PBT di Kuala Lumpur iaitu DBKL yang melaksanakan sistem aplikasi teknologi moden yang sistematik iaitu aplikasi ICT dalam sistem penyampaian perkhidmatan dan mengakses maklumat. Selain daripada itu, DBKL  juga merupakan PBT pertama di dunia yang melancarkan Sistem Pengurusan Iklan Papantanda menggunakan teknologi Radio Frequency Identification (RFID).  Teknologi ICT Inilah yang harus terdapat dalam setiap PBT di seluruh negeri supaya segala bentuk penggunaan teknologi baru dapat diamalkan oleh PBT tempatan (sumber; Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,  www.dbkl.gov.my).

2.5  Cabaran dalam aspek Sosial


Isu dan cabaran PBT dalam aspek sosial juga amat penting jika melihat peranan PBT pada masa sekarang kerana aspek sosial seperti kualiti hidup, isu perumahan, kemiskinan, gejala sosial, jenayah, masalah perbandaran, kebanjiran pekerja asing dan sebagainya amat mencabar dan keadaan ini merupakan kesan langsung daripada keadaan globalisasi yang memberi kesan kepada sektor ekonomi serta kehidupan sosial masyarakat kini.

Dalam hal ini, PBT haruslah berupaya menyelesaikan masalah ini secara berkesan untuk kesejahteraan rakyat. Isu berkenaan dengan penurunan kualiti hidup masyarakat di dalam bandar merupakan antara isu utama kesan daripada pembangunan bandar yang tidak diuruskan dengan baik. Untuk menjadi sebuah bandar yang maju dan mampan ciri-ciri yang perlu di titikberatkan adalah kualiti infrastrukur sokongan dan kualiti hidup yang tinggi yang dihasilkan melalui penyediaan perumahan, pendidikan, rekreasi dan kemudahan kesihatan yang mencukupi. Dari aspek penyediaan perumahan, isu utama adalah kekurangan penyediaan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah. Walaupun kemudahan perumahan telah disediakan melebihi dari keperluan sebenar, bekalan perumahan untuk golongan miskin di bandar  tidak mencukupi kerana harga rumah adalah diluar kemampuan mereka.

Kekurangan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah telah menyebabkan wujudnya petempatan-petempatan setinggan dikawasan bandar utama di dalam negara. Kewujudan kawasan setinggan yang tidak mempunyai kemudahan infrastruktur yang sempurna telah menimbulkan banyak masalah persekitaran kawasan bandar dan kesan sampingan seperti masalah  gejala sosial, perbuatan merosakkan harta awam iaitu vandalism juga wujud dan menjadikan kemudahan awam yang disediakan tidak dapat digunakan sebaiknya.


Proses urbanisasi ini membawa cabaran yang besar kepada PBT kerana proses urbanisasi ini membawa kepada penghijaharan pekerja dari kawasan pedalaman ke kawasan bandar, kepadatan penduduk di kawasan Bandar menyebabkan juga akan menyebabkan keperluan untuk pembinaan petempatan baru. Walaubagaimanapun, pekerja yang berhijrah ke kawasan bandar kebanyakanya menetap di kawasan perumahan setinggan. Ini yang membawa masalah kepada masyarakat dan PBT di kawasan itu. Ini kerana kawasan setinggan yang membawa masalah sosial seperti jenayah ragut, mencuri dan rogol. Selain itu, kemudahan kualiti air, elektrik dan kesihatan di kawasan setinggan juga tidak sistematik kerana kualiti yang rendah dan ini juga membawa masalah kepada PBT dalam mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah ini. Begitu juga dengan masalah migrasi pekerja asing tanpa izin mahupun pekerja asing yang berdaftar dengan kerajaan. Pada tahun 2008, jumlah perkerja asing yang berdaftar berjumlah 2,062,596 juta pekerja pelbagai Negara (Sumber: Kementerian dalam Negeri) ini tidak termasuk lagi jumlah pekerja asing tanpa izin. Kewujudan kumpulan pekerja asing ini juga menyebabkan masalah sosial berlaku antaranya adalah jenayah pecah rumah dan rompakan sering berlaku yang melibatkan pekerja warga asing. Justeru itu, dalam menangani gejala sosial dan jenayah seperti kebanjiran warga negara asing ini, kutu rayau, peminta sedekah, mat rempit, pelacuran dan penagihan dadah,  sebagai PBT yang bertanggungjawab pihak ini haruslah memantau keadaan tersebut serta bekerjasama dengan pihak polis dan pihak berkuasa yang lain di kawasan bandar tersebut.

3.0 Kesimpulan
Secara keseluruhanya, dalam keadaan arus globalisasi pada masa kini, dilihat cabaran PBT semakin mencabar terutama dalam aspek politik, ekonomi, pengurusan alam sekitar, teknologi dan sosial. Dalam melaksanakan tugas sebagai PBT di kawasanya, PBT di seluruh Negara bertanggungjawab dalam melaksanakan segala peranannya kepada masyarakat untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan semua pihak. Jika dilihat peranan PBT dalam pelaksanaan serta penguatkuasaannya adalah berbeza di antara sesebuah PBT dengan PBT yang lain.  Ini adalah kerana masalah sumber kewangan, sumber manusia dan perundangan. Begitu juga dengan keutamaan sesebuah PBT yang berbeza kerana perlu memenuhi kehendak setempat, pertindihan bidang kuasa dan kehendak politik dalam masyarakat. Tetapi,pelaksanaan tugasnya bergantung kepada sumber yang sedia ada. Setiap masalah yang dikenal pasti perlu diberi perhatian serius bagi memastikan semua peruntukan sedia ada dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sistematik.

Thanks to my Group-mate and Dr. Malina