journey without destination

journey without destination

Sunday, April 17, 2011

Analisis Kegawatan Kewangan US 2008 dan Kesan ke atas Ekonomi Malaysia



        Pengenalan 
Dunia kini sedang mengalami gelora ekonomi yang telah bermula daripada krisis kewangan subprima di Amerika Syarikat pada pertengahan tahun 2008. Hasilnya, ekonomi negara-negara maju seperti Amerika Syarikat sendiri,  Kawasan Eropah, Jepun, Singapura, China dan Asia Tenggara mula lumpuh dan menerima akibat yang teruk sebagai rentetan daripada itu. Pada Januari 2009, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mengunjurkan pertumbuhan ekonomi dunia hanya pada paras 2.2 kepada 0.5 peratus bagi tahun 2009. Pada masa yang sama, Bank Dunia turut menyatakan bahawa ekonomi dunia akan menguncup sebanyak 5 peratus dibawah potensinya.

Dalam pada itu, Malaysia yang mengamalkan ekonomi terbuka turut menerima tempias akibat daripada krisis ekonomi global ini. Senarionya, pada suku keempat tahun 2008, ekonomi Malaysia sudah merasa tempias krisis ekonomi global ini di mana pertumbuhan ekonomi negara hanya mencatat 0.1 peratus, berbanding 4.7 peratus pada suku ketiha tahun 2008. Tahun 2009 memperlihatkan kejatuhan eksport negara sebanyak 27.8 peratus pada bulan Januari, manakala pelaburan langsung asing (FDI) hanya mencatat RM 26 bilion iaitu hanya separuh daripada nilai yang dicatatkan pada tahun 2008 iaitu sebanyak RM 51 bilion.

Penurunan mendadak harga komoditi minyak, gas dan kelapa sawit serta kejatuhan pasaran saham Bursa Malaysia turut menjejaskan perkembangan ekonomi negara. Kemelesetan ekonomi yang melanda ini bukan sahaja memberi kesan kepada negara malahan rakyat yang terdiri daripada guna tenaga daripada pelbagai sektor seperti sektor pembuatan terutamanya industri elektrik dan elektronik yang mengalami tekanan hebat akibat daripada taufan kemelesetan ini.

Justeru, tugasan ini adalah satu wacana yang menganalisis liputan akhbar-akhbar tempatan mengenai isu berkaitan kegawatan ekonomi yang melanda Amerika Syarikat itu yang seterusnya turut memberi kesan kepada ekonomi negara-negara maju termasuklah skop negara kajian utama kita iaitu Malaysia menjelang tahun 2009 sehingga ke penghujunnya. Analisis ini meliputi kesan kegawatan ekonomi kepada pekerjaan, sosio-ekonomi dan tindakan atau langkah yang diambil oleh pelaku-pelaku dalam ekonomi negara iaitu seperti majikan, pekerja, kerajaan dan kesatuan-kesatuan sekerja secara ringkas.


Kesan kegawatan ekonomi kepada sektor pekerjaan
Secara keseluruhannya laporan akhbar-akhbar tempatan telah memperlihatkan kepada kita bahawa sebenarnya kegawatan ekonomi mula melanda negara-negara terlibat sejak pertengahan tahun 2007 lagi. Hal ini bermakna, laporan mengenai kesan kegawatan ekonomi terhadap pelaku-pelaku dalam ekonomi terutamanya kesan terhadap pekerja dan pekerjaan serta beberapa kesan lain seperti kesan terhadap sosio ekonomi penduduk sudah mula jelas kelihatan sejak saat itu lagi. Walau bagaimanapun skop ulasan ini akan lebih ditumpukan kepada latar belakang kegawatan ekonomi pada sepanjang tahun 2009 dan dengan mengambil kira juga pelaporan berkenaan dengan isu ini pada tahun-tahun sebelumnya.

Dewasa kini, isu kegawatan ekonomi yang dihadapi oleh seluruh negara termasuk Malaysia telah membawa kepada isu kehilangan pekerjaan dikalangan rakyat di negara terlibat. Menjelang 2009, menurut Menteri Sumber Manusia,  diramalkan kira-kira 45,000 pekerja bakal menghadapi tindakan pemberhentian kerja. Setakat tahun 2009 kira-kira 15,000 pekerja telah diberhentikan. Kementerian Sumber Manusia menasihatkan supaya pekerja-pekerja memilih bidang pekerjaan lain atau berkaitan dengan bentuk latihan kemahiran. Walau bagaimanapun, secara realitinya, penduduk di Malaysia didapati masih belum bersedia untuk menghadapi risiko  kehilangan pekerjaan berikutan krisis ekonomi global. 

Satu kaji selidik mendapati, secara puratanya, simpanan rizab responden hanya mampu bertahan dalam tempoh 11 minggu sahaja apabila mereka diberhentikan kerja. Selain itu, 21 responden pula membayangkan simpanan mereka hanya akan bertahan selama 4 minggu sahaja. Malahan juga, hasil kajian oleh Timothy Johnson iaitu Ketua Segmen Pemasaran Peruncitan Citibank Bhd. Menunjukkan hasil kajian yang dijalankan menunjukkan hanya 2 daripada 5 rakyat atau 39%, rakyat Malaysia mempunyai tabiat menabung secara konsisten.

Kegawatan ekonomi telah memberi impak yang besar kepada sektor-sektor ekonomi di Malaysia. Terdapat jangkaan oleh Badan Pegawas Pemegang Saham Minoriti Bhd (MSWG)  bahawa hampir lebih 1000 syarikat senaraian awam tempatan akan terjejas pada akhir tahun 2010 berikutan kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat (AS). Walau bagaimanapun secara jelasnya, impak kemelesetan telah terlebih dahulu di hadapi oleh beberapa sektor pekerjaan yang terjejas teruk akibat kemelesetan ekonomi. Sektor pembuatan terutamanya sektor-sektor seperti elektrik dan elektronik serta automotif. Memandangkan sektor pembuatan adalah merupakan sektor yang menyediakan peluang pekerjaan, maka satu trend telah dapat kita lihat di mana satu persatu perusahaan yang terlibat dalam sektor pembuatan terpaksa sama ada menamatkan keseluruhan atau sebahagian operasi atau terpaksa menutup terus operasi kilang atau perusahaan mereka akibat tidak dapat menampung kos pengeluaran operasi syarikat.

Malahan isu berkaitan dengan pekerja sektor pembuatan terus berlanjutan sehingga ke bulan Mac 2009.Walaupun terdapat kekosongan di sektor ini menjelang Mac, sektor ini terpaksa dibekukan sementara waktu. Hal ini penting bagi memastikan jawatan dalam sektor swasta lain dapat diisi. Jabatan Tenaga Kerja, Johari Kabir memberitahu, bagi membolehkan jawatan sektor swasta diisi oleh pekerja tempatan, pelbagai pendekatan proaktif dilaksanakan untuk mereka mendapat pekerjaan Walau bagaimanapun timbul persoalan adakah kekosongan ini sesuai diisi oleh pekerja-pekerja dari sektor pembuatan terutamanya mereka yang datang dari latar belakang pendidikan yang rendah.

Kegagalan menampung kos pengeluaran operasi ini telah menjadi kesan berantai dimana ramai pekerja dalam sektor-sektor yang terjejas teruk akibat masalah kemelesetan ekonomi terpaksa diberhentikan atau ditamatkan perkhidmatan. Hal ini kerana syarikat yang dari sektor terbabit terutamanya pengilan menghadapi masalah kemerosotan permintaan. Hal ini ditambahkan lagi dengan pihak pengurusan yang menghadapi tekanan ekoran jualan merosot, inventori meningkat serta berhadapan dengan kenaikan kos seunit barangan mereka.

Antara syarikat yang telah bertindak mengecilkan kos operasinya ialah Intel Corporation yang telah bertindak menutup dua kemudahan pemasangan sedia adanyaSyarikat lain yang turut bertindak sedemikian ialah Proton Holdings Bhd. Proton telah bertindak memberhentikan perkhidmatan wakil pengedar mereka bagi memastikan pengeluaran kereta nasional itu kembali berdaya maju. Hal ini menyebabkan hampir 180 wakil edar proton terpaksa menghentikan operasi mereka

Kesan terhadap pekerjaan seterusnya juga dapat dilihat dalam sektor perkhidmatan awam sendiri yang terpaksa bertindak menamatkan perkhidmatan penjawat awamnya. Di Butterworth contohnya, Perbadanan Perpustakaan Awam  di Pulau Pinang melalui Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil tindakan menamatkan perkhidmatan 13 kakitangannya. Hal ini menyebabkan bukan sahaja pekerja itu sendiri yang menanggung keperitan akibat kehilangan kerja sekaligus pendapatan, malahan tanggungan-tanggungan di bawah pekerja yang dipecat tersebut turut merasa tempias keadaan tersebut.

 Hal ini dibuktikan dengan keluhan-keluhan dan luahan rasa kecewa yang disuarakan oleh individu penjawat awam yang dipecat tersebut. Walau bagaimanapun dapat dilihat tindakan Kongres Kesatuan Sekerja (CUEPACS) yang begitu komited dalam melindungi penjawat awam yang bernasib malang ini. Antara usaha CEUPACS termasuklah menghantar surat kepada ketua menteri yang terlibat memohon supaya mengeluarkan arahan kepada PPAPP agar menerima kembali pekerja yang diberhentikan ini. Jika PPAPP tidak berbuat demikian PPAPP hendaklah membayar pampasan kepada pekerja tersebut.

Walau bagaimanapun, di Pulau Pinang, laporan mengenai pemberhentian pekerja dilaporkan stabil sejak beberapa minggu kebelakangan. Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Pulau Poi Hoe Lean Fatt menyatakan kadar peningkatan pemberhentian pekerja khususnya dalam sektor pembuatan, tidak begitu ketara. Hanya 300 pekerja diberhentikan menjelang bualn April berbanding 1200 orang pekerja diberhentikan pada Januari. Hal ini adalah berpunca daripada kebijaksanaan majikan mengambil langkah penurunan kos operasi dengan mengurangkan gaji dan bayaran lebih masa, mengurangkan waktu bekerja, tidak memberi bonus dan meminta pekerja menghabiskan cuti tahunan.

Walau bagaimanapun, laporan akhbar pada bulan Mac pula telah memberi angka baru bagi pekerja yang telah diberhentikan keja di negara ini telah mencecah kepada angka 26224 orang. Menurut Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Shamsudin Bardan, daripada jumlah 26224 tersebut, seramai 12674pekerja yang terdiri daripada rakyat tempatan dan 6651 rakyat asing diberhentikan dengan begitu sahaja, manakala selebihnya ditawarkan skim pemisahan sukarela (VSS).

            Kesan lain yang turut terpaksa ditanggung oleh sektor pekerjaan akibat kemelesetan ekonomi ialah berkenaan dengan isu gaji. Pemberhentian kerja dikalangan pekerja turut menyebabkan pekerja kehilangan pendapatan. Tambahan lagi, tindakan majikan yang mengurangkan waktu bekerja bagi mengelakkan pemecatan kakitangan menyebabkan pekerja hanya menerima jumlah gaji yang kecil. Hal ini menyebabkan pekerka menghadapi masalah kewangan. Contohnya, Kerajaan Kedah mengumumkan pemotongan gaji dikalangan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri sebanyak 5%. 


             Wang yang dipotong tersebut akan dimasukkan ke dalam Tabung Tunku Mahmud bagi tujuan pembiayaan kepada golongan miskin di negeri Kedah.  Tindakan yang sama turut diambil CIMB yang turut melaksanakan skim pemotongan gaji kakitangannya antara 10% hingga 20%. Tindakan ini adalah bertujuan untuk megurus kualiti asset secara proaktif dan mengendalikan kos dengan lebih baik. Ketua Eksekutifnya juga menyatakan pembuangan pekerja bukanlah budaya yang tepat untuk mengoptimumkan operasi ketika berlakunya krisis kewangan ini.



        Kesan Terhadap Sosio-ekonomi
Sepertimana yang diketahui umum, terdapat banyak kesan yang akan timbul sekiranya hubungan industri yang dijalankan tidak menepati ciri-ciri yang baik. Contoh ciri-ciri yang baik ialah penggunaan pekerja warga asing dapat diminimumkan, pekerja tempatan diberikan peluang yang sama, dan sebagainya. Namun, akibat yang diterima Malaysia pada tahun 2009 adalah kesan kemelesetan ekonomi seperti yang berlaku di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun. Terdapat banyak sektor yang mengalami impak yang sama seperti yang terjadi di negara-negara tersebut.



a) Pekerja Tempatan
Sektor sumber manusia merupakan agen yang terpenting dalam apa jua bidang pekerjaan. Sumber manusia merupakan tenaga kerja yang akan menggerakkan apa sahaja pekerjaan, tanpa mereka, sektor tersebut akan mengalami kemerosotan yang akan menyebabkan berlaku kerugian atau kesan negatif yang lain lagi. Pada tahun 2009, telah mencatatkan beberapa kesan akibat kemelesetan yang melanda Malaysia. Masalah pemberhentian pekerja di pelbagai sektor pekerjaan merupakan kesan utama yang berlaku akibat krisis ekonomi 2009. Seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 22 Disember 2008, terdapat trend pemberhentian pekerja yang diramalkan serius tahun 2009 dengan seramai 4,749 pekerja akan diberhentikan oleh 102 majikan dalam tempoh tiga bulan pertama 2009 setelah mengambil kira kelembapan ekonomi dunia.

                                Hal ini telah disebabkan ramai majikan terpaksa mengurangkan kos pengeluaran bagi memastikan mereka kurang mengalami kerugian dalam perniagaan mereka. Sebelum ini, terdapat juga laporan daripada Kementerian Sumber Manusia menjangkakan 45,000 pekerja akan hilang pekerjaan selepas Tahun Baru Cina 2009, ia lebih banyak berbanding krisis pada tahun 1997-1998 lalu, menurut Pakar Ekonomi Kanan Bank Islam (M) Bhd., Azrul Azwar Ahmad Tajudin. Sebanyak 26,224 orang telah diberhentikan kerja di negara ini sejak 19 Mac 2009, dinyatakan oleh pengarah eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan. Menurut beliau lagi, daripada jumlah itu, sebanyak 12,674 rakyat tempatan dan 6,651 warga asing diberhentikan kerja begitu saja, manakala selebihnya ditawarkan skim pemisahan sukarela (VSS).



b) Pekerja Kontrak
         Selain itu, terdapat juga isu berkenaan pekerja kontrak yang terpaksa diberhentikan perkhidmatan mereka di Malaysia kesan daripada kelembapan ekonomi. Seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia mengenai nasib pekerja kontrak yang berkhidmat di Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) yang ditamatkan perkhidmatan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Begitu juga desakan daripada Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang telah mendesak kerajaan supaya menyerap 50,000 kakitangan kontraknya ke jawatan tetap. Menurut Presiden CUEPACS, Omar Osman, mereka tidak sepatutnya ditamatkan kontrak lebih-lebih lagi ketika negara menghadapi kemelesetan ekoran krisis ekonomi global.

         Sebelum itu, beliau sebenarnya telah menerima aduan dan makluman pekerja kontrak diberhentikan secara drastik oleh ketua-ketua jabatan dan itu adalah tindakan yang tidak wajar serta tidak berperikemanusiaan. Beliau menambah, seharusnya pihak Sumber Manusia prihatin dengan nasib pekerja-pekerja kontrak yang mempunyai keluarga dan tanggungan. Beliau juga mengulas mengenai tindakan Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) yang telah memberhentikan 13 kakitangannya sama ada mahu menyambung semula perkhidmatan mereka atau membayar pampasan kepada mereka yang terlibat. CUEPACS juga mahu supaya status kakitangan atau pekerja kontrak di semua agensi dan jabatan kerajaan di seluruh negara dihapuskan menjelang tahun 2010.


        c) Pekerja Asing
         Pada masa kini, kebergantungan terhadap pekerja asing dilihat terlalu tinggi memandangkan ramai majikan yang berpendapat pekerja tempatan yang suka memilih pekerjaan dan tidak berminat untuk menceburkan diri dalam sektor perladangan, pembinaan dan sektor-sektor lain. Namun begitu, jika kita melihat kembali kepada senario ini, jika kehadiran mereka tidak disekat, maka akan berlakulah lambakan pekerja asing di Malaysia. Seperti laporan yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia mengenai jumlah pekerja warga asing yang dianggarkan berjumlah 2.2 juta orang tidak termasuk jumlah pendatang tanpa izin yang menghampiri jumlah dua juta di seluruh negara. Mereka bukan sahaja menyebabkan lebihan tenaga kerja malahan telah menyebabkan ramai tenaga kerja tempatan tidak dapat mendapat pekerjaan. Nisbah kehadiran mereka juga sudah meningkat dan akan menguasai separuh daripada suku juta peluang pekerjaan yang ada di Malaysia pada setiap tahun.

            Namun begitu, menurut Setiausaha Agung MTUC, G. Rajasekaran menyatakan, tindakan tidak bertanggungjawab agensi pekerjaan yang mengejar keuntungan dengan membawa masuk pekerja asing menyebabkan terdapat kira-kira 10,000 warga asing yang menganggur di negara ini. Keadaan menjadi bertambah buruk lagi melalui campur tangan syarikat pekerjaan yang tidak berpengalaman dalam mengurus dan melatih pekerja sehingga menyebabkan ramai yang gagal untuk mendapatkan pekerjaan di negara ini. Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Sheikh Yahya Sheikh Mohamed juga menyatakan, keengganan warga asing untuk meninggalkan negara ini adalah disebabkan oleh kos perbelanjaan untuk datang ke negara ini yang tinggi.



       d) Tenaga Pakar Tempatan
            Isu tenaga pakar tempatan yang enggan bekerja di negara sendiri dilihat memerlukan penambahbaikan dari segi upah yang bakal mereka terima jika sedia berkhidmat dengan sektor yang terlibat. Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. Fong Chan Onn menyatakan, sistem upah sekarang telah menyebabkan negara kehilangan ramai tenaga pakar yang mengambil keputusan untuk berhijrah ke negara luar seperti ke Singapura kerana menawarkan peluang yang lebih baik. 
              
          Menurut beliau, Malaysia tiada pilihan selain melaksanakan sistem setanding di peringkat antarabangsa bagi menghentikan penghijrahan tenaga pakar yang merugikan negara. Ramai pekerja Malaysia mempunyai kepakaran yang tinggi namun mereka telah berhijrah ke Singapura kerana gaji yang diterima lebih lumayan. Beliau juga menambah, pemberian insentif di Singapura telah mendorong ramai pekerja meningkatkan produktiviti, jadi sudah tiba masanya Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia juga sedang memikirkan bagaimana kita boleh mengubah sistem upah supaya setanding dengan piawaian antarabangsa.


e) Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)
            Usahawan PKS juga mengalami impak akibat keadaan ekonomi yang merundum pada tahun 2009 yang lalu. Kebanyakkan mereka telah membuat pinjaman untuk menjalankan perniagaan mereka. Usahawan PKS adalah tulang belakang ekonomi negara yang menjadi periuk nasi kepada ratusan ribu pekerja kelas pertengahan dan rendah dengan lebih 90 peratus perniagaan di Malaysia terdiri daripada PKS. PKS ditakrifkan sebagai firma yang menjana hasil tahunan kurang daripada RM25 juta dan memiliki had bilangan kakitangan tertentu. 
                    
Justeru, untuk menyokong pengembangan dan pertumbuhan PKS ini, kerajaan menubuhkan pelbagai agensi bagi membantu meningkatkan daya tahan serta saing yang antaranya, Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC), Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta yang terbaru, SME Bank selain beberapa bank perdagangan turut menubuhkan bahagian Indusri Kecil dan Sederhana (IKS) sendiri.

                Apabila keadaan ekonomi kurang elok pada tahun 2009, ramai usahawan (PKS) gagal untuk melunaskan pinjaman mereka, bank yang memberikan pinjaman terpaksa menanggung pinjaman tidak berbayar (NPL) sehingga menyebabkan mereka terpaksa menanggung kerugian, mengurangkan tenaga kerja sedia ada menerusi Skim Perberhentian Sukarela (VSS) dan penurunan harga saham. Justeru, arahan kerajaan kepada agensi-agensi pinjaman kerajaan termasuk SME Bank dan MARA untuk memanjangkan tempoh pembayaran balik pinjaman sangat wajar pada masa ini kerana dapat membantu PKS menstrukturkan semula kedudukan kewangan syarikat. Dengan cara ini, para usahawan PKS dapat mengurangkan kadar kerugian mereka dengan cara mengurangkan kos.



               f) Pasaran Saham Tempatan
            Pasaran saham tempatan kerugian hampir RM300 bilion sejak bulan Januari tahun 2008 ekoran kesan daripada masalah ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang bermula awal 2008 dan seterusnya merebak menjadi krisis kewangan global. Menurut Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur, (kini dikenali sebagai Bursa Malaysia), Datuk Mohd Salleh Majid telah menyatakan, kejatuhan penanda aras, Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) di bawah paras 900 mata kini adalah antara penunjuk utama yang pertama ketika itu menandakan Malaysia mula menerima tempias daripada kemelut kewangan kuasa ekonomi dunia itu.

            Malahan, Bursa Malaysia mula ‘goyang’ selepas pilihan raya umum pada bulan Mac tahun 2008 ekoran konflik dan kekeliruan pelabur terhadap kepimpinan negara selepas pilihan raya tersebut apabila IKKL merudum sebanyak 100 mata kepada 1,173.22 mata. Jika kita lihat secara keseluruhan, faktor politik juga memainkan peranan yang boleh mempengaruhi sesuatu kegiatan ekonomi di sesebuah negara yang terlibat.  



          g) Industri Kereta Nasional
            Lebih separuh atau 180 buah wakil pengedar kereta Proton Holdings Bhd. (Proton) di seluruh negara akan dihentikan perkhidmatan mereka dalam usaha memastikan pengeluar kereta nasional itu kembali berdaya maju. Menurut Pengerusi Proton, Datuk Nadzmi Mohd Salleh, tindakan yang dilakukan ini diakui menyakitkan tetapi langkah itu terpaksa dilakukan oleh Proton. Proton kini mempunyai 303 wakil pengedar termasuk di bawah cabang pemasarannya Proton Edar Sdn. Bhd.

              Walau bagaimanapun, ada dikalangan wakil pengedar menyatakan perasaan tidak puas hati dan mengarahkan supaya Proton Holdings Bhd. (Proton) menutup operasi cabang pemasarannya, Proton Edar Sdn. Bhd. terlebih dahulu sebelum mereka hendak menghentikan operasi cawangan wakil pengedar milik individu. Pemangku Presiden Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (Peda) Armin Baniaz Pahamin menyatakan, operasi anak syarikat Proton itu adalah melibatkan wang pembayar cukai sedangkan operasi wakil pengedar Proton milik individu yang ditanggung sendiri. Beliau juga menyatakan bahawa cadangan Proton itu akan menyebabkan hampir 2,500 kakitangan kehilangan kerja dan kerugian sekitar RM123 juta sekiranya 123 cawangannya ditutup.


           h) Industri Import Negara
            Industri import negara seperti makanan, kereta, motorsikal siap dipasang sepenuhnya dan sebagainya telah mengalami kemerosotan akibat kegawatan ekonomi yang berlaku ini. Industri ini dikatakan mengalami penurunan apabila kerajaan telah mengehadkan pengimportan bagi memberi peluang yang sama kepada produk tempatan. Seperti yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan, kebergantungan terhadap import produk makanan luar seharusnya dikurangkan bagi memastikan pengaliran keluar wang dapat dikurangkan. Hal ini juga penting sebagai langkah dalam pembentukan eknonomi untuk menghasilkan model berpendapatan tinggi yang boleh meningkatkan pendapatan golongan petani, nelayan dan penternak. Datuk Seri Najib Tun Razak juga menegaskan, kerajaan berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan yang bernilai kira-kira RM 28 bilion pada tahun 2008 kepada kira-kira RM14 bilion setahun.

            Begitu juga dalam pemberian AP atau permit import untuk kereta terhadap francais terbuka bagi syarikat baru juga diambilberat memandangkan pemberian AP akan dimansuhkan pada tahun 2015, menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir. Hal ini juga dinyatakan seperti dalam industri pembuatan dan pemasangan motosikal tempatan patut mengambil peluang dalam AFTA bagi mengeksport produk mereka di seluruh rantau ini. Duti import bagi motosikal yang dipasang sepenuhnya (CBU) di negara ini akan dihapuskan pada tahun 2010 menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed. Menurut beliau lagi, perusahaan ini perlu meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang mengutamakan nilai tambah dalam memajukan industri permotoran negara.





i) Kesan-Kesan Lain?
            Dalam menghadapi kemerosotan ekonomi yang melanda negara, terdapat pelbagai sektor yang lain mengalami kesan seperti dalam industri kenderaan terpakai. Jualan kenderaan terpakai terutamanya kereta telah mengalami penyusutan jualan sebanyak 12 hingga 15 peratus pada tahun 2009. Hal ini telah menyebabkan 5,000 pengedar kereta terpakai terpaksa menyimpan stok kenderaan tersebut dengan jumlah yang besar iaitu sebanyak lebih 150,000 buah, menurut     Presiden Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM), Datuk Tony Khor.


             Beliau menegaskan, terdapat keperluan untuk mengembalikan keyakinan pengguna bagi merangsang semula jualan kenderaan yang disebabkan oleh krisis kewangan global. Malahan, masih terdapat lebihan stok dalam pasaran dan pengedar kereta terpakai tidak akan mengambil stok pada harga yang tinggi. Jika jualan terus merosot, harga (kereta) juga terus jatuh dan akan menjadikan pengguna tidak mahu menukar kereta, sebaliknya akan membeli kereta yang baru.

            Isu kebajikan pekerja asing yang masih kurang dititikberatkan oleh para majikan di Malaysia juga telah dilaporkan. Pada tahun 2009, terdapat andaian yang mengatakan pekerja warga asing hendak menubuhkan persatuan sendiri, namun kerajaan melalui Kementerian Sumber Manusia oleh menterinya, Datuk Dr S. Subramaniam telah menolak cadangan tersebut. Menurut beliau, pekerja asing di negara ini sudahpun tertakluk kepada Akta Kerja 1955 seperti pekerja tempatan, dan daripada segi hak, pekerja asing tidak dibezakan daripada pekerja tempatan. Contohnya di bidang perladangan, ada banyak pekerja asing sudah menjadi ahli NUPW (Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang), sudah ada pekerja asing boleh buat aduan mereka, sudah ada wakil pimpinan di pihak mereka untuk mewakili suara mereka. Selain itu, Subramaniam juga menyatakan pekerja asing juga dibayar pampasan akibat kemalangan yang berlaku di tempat kerja atau dalam perjalanan pergi balik ke tempat kerja mengikut Akta Pampasan Pekerja 1952.

            Selain itu, terdapat juga isu mengenai tindakan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang meminta bonus walaupun negara sedang mengalami kegawatan ekonomi. Tindakan yang dibuat oleh Cuepacs tersebut dilihat sebagai satu tindakan yang kurang bermoral dalam negara yang sedang menghadapi krisis. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan, tuntutan tersebut dibuat ketika keadaan ekonomi negara kini masih belum pulih sepenuhnya. Menurutnya, walaupun tindakan seumpama itu boleh membuatkan CUEPACS popular di kalangan ahlinya, tetapi dalam konteks ekonomi semasa ia disifatkan sebagai tidak wajar. 


             Namun begitu, ia bukan bermakna kerajaan tidak menghargai sumbangan kakitangan awam sebaliknya kerajaan sentiasa memikirkan cara dan kaedah terbaik untuk meningkatkan motivasi mereka. Kerajaan katanya, akan memperkenalkan sistem ganjaran yang lebih berkesan dan setimpal terutama kepada pegawai serta kakitangan awam yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang.

4.0 Tindakan Majikan dan Kerajaan



        Tindakan Majikan
Kegawatan ekonomi dunia yang berlaku pada akhir tahun 2008 di Amerika Syarikat yang melibatkan masalah kewangan kredit subprima dalam sektor perumahan telah memberi impak  kepada ekonomi Malaysia sehingga kini. Ini jelas dilihat apabila kadar pemberhentian pekerja meningkat berikutan kemerosotan permintaan produk dan perkhidmatan yang dihadapi oleh pihak industri. Dalam hal ini, pihak majikan telah melaksanakan pelbagai kaedah untuk menyelesaikan masalah ini dan ia memberi kesan kepada sektor pekerjaan dan buruh di Malaysia. Majikan merupakan pihak yang penting dalam organisasi pengurusan yang mana pihak majikan merupakan pembuat keputusan jika berdasarkan kuasa yang ada pada mereka.

Ketika krisis kemelesetan ekonomi berlaku pada akhir tahun 2008 hingga 2009 di jangkakan sejumlah 1 juta pekerja akan hilang pekerjaan dalam pelbagai bidang. Ini disebabkan oleh tindakan majikan yang dilihat sebagai cara yang terbaik untuk mengurangkan kos dan meminimumkan kerugian yang dialami oleh mereka. Sebagai contoh di kuantan, Pahang, seramai 158 orang diberhentikan kerja di Pahang dalam tempoh Oktober tahun lalu sehingga Mac lalu berikutan kesan krisis ekonomi global yang mana melibatkan sektor perkilangan dan beberapa sektor utama yang lain. Begitu juga dengan keadaan yang berlaku di Pulau Pinang, Sebanyak 13,000 pekerja kebanyakannya di sektor perkilangan dan pembuatan diberhentikan di seluruh negara antara Oktober tahun lepas dan Januari lalu. Ia juga melibatkan pekerja dalam sektor perkilangan dan pembuatan.

Walau bagaimanapun, tedapat juga syarikat dan majikan yang tidak membuang pekerjanya ekoran daripada krisis kewangan yang berlaku contohnya syarikat Nestle Malaysia Bhd iaitu syarikat pengeluar produk makanan. Dalam hal ini, berdasarkan rekod pertumbuhan bagi syarikat ini yang positif dan keyakinan terhadap kemampuan produk yang dihasilkan tidak akan terjejas dengan krisis yang berlaku kerana mereka berjaya mengekalkan permintaan pengguna terhadap produk yang dihasilkan. Perancangan dan pegurusan yang proaktif oleh syarikat atau majikan membolehkan pekerja tidak diberhentikan kerja sebaliknya majikan mencari jalan bagaimana untuk meningkatkan produktiviti dan mencari peluang disebalik krisis kewangan yang berlaku.

Selain itu, bagi Kumpulan CIMB, mereka telah melaksanakan skim pemotongan gaji kakitanganra antara 10 higgga 20 peratus ketika krisis kewangan berlaku. Ini adalah bagi mengelak daripada mereka untuk membuang pekerja kerana pembuangan atau pemberhentian pekerja oleh majikan semasa krisis kewangan adalah bukan budaya Kumpulan CIMB kerana untuk mengoptimumkan kos operasi. Dalam hal ini, ketika krisis ekonomi berlaku pembuangan pekerja akan merugikan majikan kerana mereka terpaksa mengambil pekerja baru selepas krisis kewangan pulih dan ini memerlukan mereka untuk melatih dan kos membiayai mereka dijangka tinggi dan ini akan meningkatkan kos operasi dan perbelanjaan syarikat.

            Oleh kerana majikan merupakan pihak yang memainkan peranan yang penting dalam menghadapi krisis ekonomi global ini maka mereka seharusnya mengambil tindakan yang lebih proaktif dalam mengkaji dan menyelesaikan masalah pembuangan pekerja dan bekerjasama dengan kerajaan dalam melatih semula pekerja-pekerja yang telah diberhentikan kerja oleh majikan. Dalam hal ini, pelbagai program telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk usahasama dengan pihak syarikat swasta untuk mengatasi masalah pengangguran di Malaysia antaranya majikan melibatkan diri dalam program dan penubuhan JobsMalaysia iaitu majikan dalam pelbagai industri juga dijemput untuk melibatkan diri dan mengambil bahagian dalam program temuduga yang mana majikan-majikan ini akan merekrut pekerja baru jika mereka layak dan lepas ditemuduga. Ini membolehkan mereka mendapat pekerja yang berkemahiran, kreatif dan inovatif dengan ini pekerja baru dapat menyumbang idea cara pengurusan dan perancangan yang baru yang membolehkan syarikat beroperasi dengan berkesan dan mencapai objektifnya.


           Peranan Kerajaan
Selain itu, Kerajaan juga memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah ekonomi yang berpunca daripada masalah kegawatan kewangan yang berlaku di Amerika Syarikat dan masalah ini memberi kesan kepada ekonomi Malaysia sehingga kini. Jika dilihat secara keseluruhanya, antara sektor yang terkena tempias daripada krisis ekonomi ini ialah sektor perkilangan, pembinaan, dan pembuatan. Dalam hal ini, kerajaan harus mencari kaedah yang terbaik untuk mengatasi masalah ini dan meningkatkan kedudukan ekonomi pada paras yang stabil supaya kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih positif. 


 Kesan langsung daripada krisis ini berlakunya masalah pembuangan pekerja, pengangguran, upah yang rendah, masa bekerja yang disingkatkan dan sebagainya, Selari dengan objektif ini kerajaan telah menyuntik sejumlah RM67 bilion untuk mengurangkan impak krisis ekonomi ini. Daripada RM 67 bilion tersebut, RM 2 bilion telah diperuntukan untuk latihan kemahiran dan peluang pekerjaan.

Dalam pada itu, Kerajaan melalui Kementerian Sumber (KSM) Manusia telah mengambil langkah yang proaktif dalam usaha untuk mengatasi masalah penganguran yang berlaku kini. dianggarkan sejumlah 1 juta pada tahun 2009 di Malaysia yang kebanyakanya adalah mereka yang bekerja dalam sektor perkilangan, pembuatan dan pembinaan. Dalam hal ini, tindakan majikan yang membuang pekerja adalah untuk mengurangkan kos pengeluaran dan operasi mereka supaya dapat memaksimumkan keuntungan dan mengurangkan risiko kerugian yang berlaku. Jika dilihat di Kuantan, Pahang, seramai 158 pekerja tempatan di berhentikan kerja.Walaubagaimanapun, sebanyak 94 pekerja telah mendapat pekerjaan baru melalui Program Penempatan Pekerjaan yang dilaksanakan oleh KSM. 


              Manakala itu, di Melaka pula, seramai 5,815 pekerja telah diberhentikan sejak Ogos 2008 hingga 31 mac 2010. Daripada jumlah tersebut seramai 3,454 adaalah pekerja tempatan. Melalui KSM juga, kerajaan telah mengadakan pelbagai program untuk mengatasi masalah ini antaranya adalah Hari Pemadaman Pekerjaan khusus untuk golongan pengangur dan pekerja yang di buang kerja di 15 pusat di seluruh Negara.

Langkah ini adalah untuk membolehkan golongan ini mendapat pekerjaan yang sesuai berdasarkan kemahiran, kebolehan, kepakaran dan pengetahuan yang mereka ada, dengan ini dapat mengurangkan pengangguran yang berlaku. Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam, sejumlah 45, 000 pekerja yang diberhentikan berikutan krisis ekonomi global ini mendapat pekerjaan secepat mungkin dan memasiki pasaran pekerjaan seterusnya dapat meningkatkan ekonomi Negara dan krisis ekonomi  ini dapat diatasi dengan segera. Selain itu, usaha KSM  dalam membela nasib pekerja adalah melalui penubuhan JobsMalaysia atau dahulunya dikenali sebagai Electronic Labour Exchage (ELX) yang bakal menjadi hab pekerjaan kebangsaan sektor awam dan swasta. 


                 Penubuhan JobsMalaysia ini membolehkan penawaran dan petempatan pekerjaan disediakan kepada pekerja dan graduan menganggur. Begitu juga dengan program dan latihan antaranya Train and Place Program, Community Employment Support Program, Jobs Placement Program, National Dual Training Systems (NDTS), Skill Development Fund dan Self Employment Program. Jika berdasarkan program-program ini, dilihat ia mampu mengatasi masalah pengangguran yang berlaku dan seterusnya krisis ekonomi dapat diatasi dengan berkesan. 

Dalam usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi Negara akibat daripada krisis ekonomi yang berlaku, kerjaan telah melaksanakan Liberalisasi dalam Sektor Perkhidmatan iaitu sebanyak 27 subsektor telah dikenalpasti akan diliberalisasikan. Dalam hal ini, bidang kesihatan dan social, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, computer dan bidang-bidang lain yang berkaitan akan diliberalisasikan. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, liberalisasi sektor perkhidmatan bertujuan membentuk satu persekitaran perniagaan yang kondusif bagi menarik pelaburan, teknologi serta menjana peluang pekerjaan bertaraf tinggi. Pada 2008, sektor perkhidmatan menyumbang sebanyak 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2008 dengan 47.6 peratus merupakan sumbangan perkhidmatan bukan kerajaan dan mewakili 57 peratus dari jumlah pekerjaan di Malaysia. 


                Ini jelas dilihat bahawa Liberalisasi Sektor Perkhidmatan membolehkan ekonomi Malaysia lebih berdaya saing dengan pertukaran atau pemindahan teknologi, kepakaran. pengetahuan, kaedah pengurusan dengan syarikat luar. Dengan ini  tenaga buruh mahir tempatan boleh menceburi bidang dalam Sektor Perkhidmatan dengan lebih kompetetif kerana peluang pekerjaan yang terdapat dalam sektor ini luas dan membolehkan mereka melibatkan diri di peringkat global. 

Dalam era glaobalisasi pada masa kini, keadaan ekonomi Negara memudahkan ekonomi Negara memerima kesan daripada tempias ekonomi global. Jika dilihat krisis ekonomi pada masa ini, pekerja dalam syarikat dan kilang akan mudah diberhentikan kerana kebanyakan kilang di Negara ini adalah dari Negara luar antaranya seperti Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) yang merupakan rakan dagang dalam pasaran ekonomi. Keadaan ekonomi dunia yang mengalami kemelesetan pada masa kini, telah menyebabkan pemberhentian pemberhentian pekerja berlaku dalam ekonomi negara dan menyebabkan kadar pengangguran kepada 4 peratus pada 2009. 


                Akibat daripada situasi ini, antara tindakan yang dilaksanakan adalah seperti jaringan keselamatan ekonomi dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) disediakan oleh majikan dan kerajaan bagi mengelakkan pemberhentian pekerja secara besar-besaran. Kerajaan sedang menimbang untuk memberi geran khas kepada para majikan untuk melatih semula para pekerja sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mencegah pemberhentian pekerja di negara ini.      

Dalam sektor awam, kerajaan memberi jaminan tidak akan mengurangkan jumlah pekerja sektor awam atau gaji mereka walaupun krisis ekonomi dunia merebak ke negara ini. Kerajaan masih mempunyai kemampuan kewangan dan kapasiti ekonomi yang baik untuk mengekalkan jumlah pekerja sektor awam mengikut tangga gaji sedia ada. Berbanding di Singapura, yang kini berdepan dengan kemelesetan ekonomi, kerajaannya mahu mengurangkan gaji kakitangan awam kerana mereka mahu meningkatkan kemampuan kewangan yang ada. Adalah menjadi tanggungjawab sosial korporat di pihak swasta dan kerajaan untuk mengelak berlakunya pemberhentian pekerja secara besar-besaran. Upah dan gaji yang diterima oleh 12 juta pekerja dalam negara boleh mencetus semula aktiviti ekonomi menerusi kesan rantaian perbelanjaan yang mendorong syarikat dan kilang melabur semula dalam aktiviti ekonomi, lebih-lebih lagi dengan kos pinjaman yang semakin murah disediakan oleh industri perbankan dan kewangan.

Pihak swasta dan kerajaan pula perlu melakukan pelaburan dengan segera dalam projek pembangunan koridor seperti dalam Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE). Tindakbalas melalui aktiviti perbelanjaan pengunaan dan pelaburan oleh pekerja, majikan dan kerajaan boleh menampan tempias krisis ekonomi global. Malah AS, EU, Jepun dan hampir semua negara yang berdepan dengan krisis ekonomi melaksana strategi kitaran balas dengan menyuntik dana dalam ekonomi masing-masing dan menyelamat industri yang bermasalah khususnya dalam industri kewangan dan automotif. Tindakan itu boleh mengelak berlakunya pemberhentian pekerja secara besar-besaran. Tindakan kitaran balas yang pantas, serentak dan bersama antara negara yang berdepan dengan kemelesetan ekonomi, termasuk Malaysia, serta bantuan pinjaman yang diberi oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia kepada negara-negara yang bermasalah boleh mencergas semula ekonomi global dengan segera dan memberi nafas baru kepada semua negara dalam tadbir urus ekonomi dan membina model ekonomi yang lebih sistemati klagi supaya tidak berlaku krisis ekonomi pada dekad yang akan datang.

Dalam pada itu, peranan kerajaan dalam mengalakan Pelaburan Asing masuk ke Negara ini terus meningkat dan kerjasama di peringkat global diteruskan, ini dilihat sebagai usaha yang Berjaya kerana Malaysia menjadi sebuah Negara yang menjadi tumpuan global dalam bidang pelaburan walaupun berlakunya krisis ekonomi global. Berdasarkan kedudukan Negara yang berada di kedudukan ke-5 negara yang menjadi tumpuan pelabur asing untuk melabur di Malaysia berbanding ke-15 pada tahun 2008. Ini jelas membolehkan pekerja tempatan dapat mengisi penawaran kerja dan seterusnya dapat mengatasi masalah graduan menganggur dan pekerja yang di berhentikan kerja oleh majikan [45].



            Penutup
            Sebagai kesimpulannya, masalah kegawatan ekonomi banyak mempengaruhi keadaan sesebuah negara. Pada tahun 2009, terdapat banyak kesan yang dapat kita lihat apabila kita hendak mengkaji tentang kegawatan ekonomi yang melanda dunia. Bermula di Amerika Syarikat (AS) sehinggalah ke negara-negara lain di dunia, hal ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa impak kegawatan ekonomi di AS amat besar. Di Malaysia, terdapat banyak kesan yang dirasai, terutamanya dari segi sektor pekerjaan, perindustrian, politik dan sebagainya. 

                 Namun, kerajaan telah berjaya menangani masalah ini dengan cara memperkenalkan pelbagai langkah dalam usaha menerima impak kegawatan ekonomi yang melanda. Dari segi indeks jenayah pula, didapati kadar jenayah yang dilaporkan dalam akhbar tempatan lebih menjurus kepada motif dendam, khianat dan sebagainya. Kita akan dapat melihat, jenayah yang berlaku bukanlah merupakan kesan langsung akibat kegawatan yang melanda dunia semata-mata. Kedatangan tahun 2010, diharapkan akan dapat memberikan kesan yang positif keatas ekonomi dunia secara keseluruhannya demi kemakmuran dunia sejagat. 


Thanks to my Group-mate and Prof Madya Dr. Chin Yee Wah

No comments:

Post a Comment