journey without destination

journey without destination

Sunday, March 6, 2011

Penyakit Kronik:- Isu Tabung Bantuan Perubatan (TBP)




TBP dari perspektif "KEMISKINAN"

Kesihatan merupakan aspek yang amat dititikberatkan dalam pembangunan sesebuah masyarakat. Tahap kesihatan yang terjamin dapat meningkatkan produktiviti dan seterusnya meningkatkan sosioekonomi negara. Dalam konteks Malaysia yang jumlah penduduknya dianggarkan menghampiri 28 juta orang pada tahun 2008. Isu berkenaan kesihatan menjadi topik penting dalam mencapai Negara maju pada tahun 2020. Dalam hal ini, sistem pembiayaan, penjagaan dan perkhidmatan kesihatan adalah penting kepada masyarakat kerana keberkesanan dan ketelusanya membolehkan masyarakat mendapat akses kesihatan yang cepat dan adil. Isu yang penting disini adalah berkenaan dengan penyakit kronik yang dihadapi oleh masyarakat Malaysia pada ketika ini. 

Dalam membantu masalah pesakit kronik di Malaysia, Kerajaan telah mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi dana penyakit kronik dalam ucapan Bajet 2003. Dana ini telah dinamakan Tabung Bantuan Perubatan (TBP) dan ditubuhkan pada 12 Julai 2005, pada awalnya kerajaan telah memberi peruntukan awal sebanyak RM25 juta. Sebelum ini terdapat beberapa lagi tabung yang berkenaan iaitu Tabung Kebajikan Kesihatan Kebangsaan (TKKK) dan Dana Khas Penyakit Kronik (DKPK) yang fungsinya adalah sama iaitu memberi bantuan kepada pesakit yang tidak berkemampuan dalam penyakit kronik dan ke dua-dua tabung ini digabungkan menjadi TBP.



Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan sentiasa mengambil langkah untuk mempermudahkan urusan permohonan ini dan antara langkah-langkah yang telah diambil untuk mempermudah permohonan ini melalui TBP antaranya pemohon hanya perlu mengisi sekeping borang sahaja yang mengandungi maklumat peribadi, semua hospital kerajaan seluruh negara telah diberikan penjelasan mengenai kemudahan ini dan semua permohonan yang lengkap akan diproses dalam masa 14 hari bekerja, akan tetapi berdasarkan kes-kes yang berlaku terhadap pemohon TBP iaitu proses permohonan untuk mendapatkan bantuan TBP adalah lambat dan memakan masa yang lama kerana masalah urusan dan birokrasi dalam pentadbiran. Ini akan menyebabkan risiko yang tinggi kepada pesakit yang menghadapi penyakit kronik itu. Selain itu, terdapat pelbagai lagi masalah berkenaan TBP ini yang perlu diselesaikan oleh pihak kerajaan dan kementerian Kesihatan terutamanya.

Selain daripada itu, melihat kepada Takrif Kemiskinan yang sedia ada Kementerian Kesihatan seharusnya melonggarkan syarat-syarat bagi permohonan TBP sebagai penamat kepada segala masalah yang berlaku. Ini kerana sudah tiba masanya kementerian mengkaji dan memansuhkan segala syarat bagi permohonan TBP yang selama ini dianggap bukannya membantu rakyat sebaliknya menyusahkan mereka. Oleh itu, dalam membuat keputusan itu Kementerian Kesihatan perlu melihat sedalam-dalamnya untuk memastikan tabung itu benar-benar berfungsi bagi membantu keluarga pesakit kronik. Kementerian Kesihatan seharusnya tidak perlu mewujudkan banyak  peraturan dan syarat untuk mengeluarkan wang daripada tabung tersebut memandangkan ia sememangnya diwujudkan untuk membantu rakyat. Justeru itu, syarat yang lebih mudah perlu disediakan bagi memastikan rakyat yang berhak menerima TBP dan tidak menganggap tabung itu sekadar hiasan bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan tetapi mereka tidak mendapat apa-apa faedah daripadanya. Apa yang perlu difahami, sudah pastilah rakyat yang memohon bantuan daripada tabung itu adalah terdiri daripada mereka yang benar-benar memerlukannya. 




Mereka membuat permohonan kerana percaya sebagai sebuah kerajaan yang memegang kepada prinsip tradisi membela rakyat dalam pelbagai aspek, Tetapi pandangan ini akan menjadi sebaliknya jika permohonan mereka yang sudah pastinya bertujuan menyelamatkan nyawa ahli keluarga mereka yang sakit terhalang kerana syarat yang ketat dikenakan oleh Kementerian Kesihatan. Oleh itu, apa yang perlu dilihat di sini adalah Kementerian Kesihatan harus mengkaji berkenaan dengan syarat yang dikenakan kepada pesakit kronik yang terlalu ketat kerana ketidakupayaan mereka untuk membiayai perbelanjaan perubatan dengan melihat kepada tahap kemiskinan dan kos yang tinggi untuk pembiayaan perubatan serta mencari cara-cara yang terbaik untuk mengatasinya supaya ramai pesakit kronik sembuh dan mendapat rawatan perubatan dengan segera dan berkesan.





Secara keseluruhanya, isu berkenaan dengan kesihatan amatlah penting terutamanya penyakit kronik dalam masyarakat Malaysia pada hari ini. Perubahan pola penyakit di negara ini menyebabkan kerajaan dan kementerian Kesihatan berperanan dalam pelbagai aspek, terutamanya aspek perkhidmatan perubatan, penjagaan dan pembiayaan kesihatan.Cabaran besar kepada kerajaan adalah mengurangkan masalah kesihatan masyarakat dan menjadikan masyarakat sihat dan bebas daripada penyakit yang merbahaya contohnya penyakit kronik. Dalam hal ini, pertambahan penduduk di Negara ini semakin meningkat dan ini semestinya meningkatkan lagi peranan kerajaan dan kos untuk merawat pesakit juga semakin meningkat kerana keperluan untuk kemudahan perubatan meningkat. 

Peningkatan jumlah penduduk ini juga menyebabkan kadar kemiskinan sukar dihapuskan kerana peningkatan jumlah penduduk adalah di kawasan pedalaman dan kepadatan di kawasan Bandar adalah disebabkan migrasi penduduk pedalaman ke kawasan Bandar untuk mendapatkan pekerjaan. Apa yang penting di sini adalah dari segi penjagaan kesihatan. Penjagaan kesihatan adalah penting, terutamanya kepada penduduk yang kurang berkemampuan iaitu penduduk di kawasan pedalaman dan di kawasan Bandar. Dalam hal ini, kes penyakit kronik adalah isu utama dan masalah penyakit ini tertumpu kepada golongan kanak-kanak dan warga tua serta melibatkan golongan yang kurang berkemampuan kerana kos untuk pembiayaan perubatannya adalah tinggi dan memakan masa yang lama untuk merawat.

Walaubagaimanapun, Kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah menubuhkan Tabung Bantuan Perubatan (TBP) pada tahun 2005 dengan dana permulaan sebanyak RM25 juta untuk membantu meringankan beban pesakit kronik dari segi kos dan pembiayaan perubatan. Akan  tetapi TBP ini menghadapi banyak masalah dan aduan daripada pelbagai pihak termasuklah Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan yang utama sekali adalah daripada pesakit itu sendiri kerana peruses untuk mendapatkan pembiayaan TBP adalah lambat dan memakan masa yang lama. Ini seterusnya menbebankan pesakit dan keluarganya yang terpaksa mencari sumber kewangan alternatif untuk membiayai kos perubatan antaranya adalah meminta derma melalui televisyen, surat khabar dan sebagainya. 

Selain itu, TBP juga kurang diketahui oleh masyarakat kerana kurangnya publisiti yang meluas berkenaan tabung itu. Begitu juga dengan masalah campur tangan politik, masalah urusan birokrasi dan  syarat yang dikenakan untuk permohonan TBP yang terlalu ketat sehingga ada pesakit kronik yang tidak mendapat bantuan terpaksa menunggu sehingga berbulan-bulan untuk diluluskan permohonanya, ini menyebabkan beban kepada golongan miskin dan ada diantara pesakit yang meninggal dunia sebelum mendapat bantuan itu. Justeru itu, disarankan supaya pihak Kerajaan dan Kementerian Kesihatan memainkan  peranan yang lebih proaktif dan sistematik dalam pemilihan permohonan TBP oleh pemohon yang layak terutamanya kepada pesakit kronik daripada golongan miskin dan golongan yang tidak berkemampuan supaya mereka mendapat bantuan dengan seadilnya supaya matlamat Kerajaan dalam pembangunan Negara dari segi aspek kesihatan dapat di tingkatkan dan maju selari dengan Dasar  Wawasan 2020.

Thanks to my Group-mate and Dr. Zahri Hamat